Berita Utama

Masih ada pandu mabuk, walau tahu undang-undang bakal diperketat

5 individu ditahan dalam Op Alkohol dan Pencegahan Jenayah

PETALING JAYA, 19 Zulhijjah 1441H, Ahad – Seramai lima individu ditahan dalam Op Alkohol dan Pencegahan Jenayah oleh Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya selepas didapati memandu atau menunggang kenderaan ketika berada di bawah pengaruh alkohol.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, operasi itu bermula 7 Ogos hingga hari ini dengan membabitkan sepasukan polis yang terdiri daripada pegawai dan anggota polis IPD Petaling Jaya.

Beliau berkata, fokus utama operasi ini dilaksanakan bertujuan membanteras dan mencegah pengguna jalan raya yang memandu atau menunggang kenderaan di bawah pengaruh alkohol yang turut membahayakan keselamatan dan juga menyebabkan kematian kepada orang lain.

“Sepanjang operasi tersebut, seramai 625 orang pengguna jalan raya dan 577 buah kenderaan telah diperiksa. Daripada jumlah itu, seramai lima (5) lelaki berumur lingkungan 22 hingga 48 tahun telah ditahan oleh pihak polis kerana memandu di bawah pengaruh alkohol melebihi daripada yang telah ditetapkan. 

“Kesemua mereka yang telah ditahan akan disiasat di bawah seksyen 45(A)1 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. Hasil tinjauan pihak polis, menunjukkan masih ada pengguna jalan raya yang memandu di bawah pengaruh alkohol,” katanya dalam satu kenyataan, hari oni.

Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya turut memandang serius terhadap kesalahan pengguna jalan raya melibatkan memandu dan menunggang kenderaan tanpa lesen. 

“Dalam opetasi yang dijalankan selama dua hari berturut-turut ini, pihak polis telah mengenakan tindakan saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas kepada 65 orang pengguna jalan raya. 

“5 daripadanya telah disaman di bawah seksyen 26 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 atas kesalahan memandu atau menunggang kenderaan tanpa lesen yang sah dimana kesalahan tersebut menghendaki pesalah hadir ke mahkamah pada suatu tarikh yang dinyatakan untuk dibicarakan. 

“Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi seribu ringgit atau penjara tidak melebihi tiga bulan atau kedua-duanya,” katanya.

Nik Ezanee menegaskan, IPD Petaling Jaya akan terus melaksanakan operasi ini khususnya kepada semua pengguna jalan raya yang melalui kawasan-kawasan di dalam pentadbiran polis daerah berkenaan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button