Berita Utama

Parti baharu Tun M buang masa, bercorak keluarga

Dijangka gagal jadi kuasa penentu, blok ketiga bukan pilihan

BANGI, 19 Zulhijjah 1441H, Ahad – Parti baharu Tun Dr Mahathir Mohamad bukan sahaja dijangka gagal menjadi kuasa penentu, bahkan mungkin boleh kehilangan kerusi Parlimen sedia ada.

Penganalisis politik, Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, parti baharu itu – daripada serpihan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) – mahu menjadi neutral tanpa berpakat dengan Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN).

Namun katanya, realiti politik negara sedang menuju ke arah sistem dua parti dengan blok ketiga tidak menjadi pilihan dan memberi keyakinan kepada pengundi.

“Tanpa berpakat dengan PH dan PN, parti baru ini dijangkakan bukan sahaja gagal merebut kerusi baharu tetapi akan turut gagal mengekalkan enam kerusi sedia adanya, Langkawi, Jerlun, Kubang Pasu, Muar, Sri Gading dan Simpang Renggam.

“Berbeza dengan penubuhan Bersatu dahulu, tatkala isu rasuah sedang mendapat liputan besar media negara dan media antarabangsa, isu rasuah yang cuba dijuarai oleh parti baru ini sudah tidak lagi menjadi isu besar bila beberapa pemimpin sudah didakwa di mahkamah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kenyataan Dr Mahathir bahawa parti baharunya itu tidak memerlukan ramai ahli juga mungkin menggagalkan kejayaannya, memandangkan ia bercanggah dengan prinsip asas demokrasi sebagai penentu pemerintahan.

Dr Kamarul berkata, pengoperasian parti baharu itu juga memerlukan masa, tenaga dan kos yang banyak kerana proses pencarian ahli serta penubuhan peringkat cawangan, bahagian dan negeri.

“Dr Mahathir hanya akan membuang masa, tenaga dan kos untuk menubuhkan parti baru ini sedangkan beliau sepatutnya boleh mengatasi semua masalah ini dengan mudah iaitu menyertai mana-mana satu parti yang sudah sedia ‘established’ dalam negara ini.

“Lebih memburukkan keadaan adalah penamaan Pengerusi Penaja dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Presiden Penaja parti baharu ini, yang memberikan gambaran bahawa ia adalah sebuah parti bercorak kekeluargaan dan kenegerian (Kedah),” katanya.

Jumaat lalu, Dr Mahathir mengumumkan penubuhan parti baharu – yang belum dinamakan – yang akan mendokong dasar Bersatu seperti awal ditubuhkan dahulu.

Penubuhan parti baharu itu susulan pengguguran keahlian Dr Mahathir – pengasas Bersatu – bersama empat yang lain daripada Bersatu.

Mereka ialah Mukhriz, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Dr Maszlee Malik dan Dr Ir Amiruddin Hamzah.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button