Berita Utama

5,000 aktivis ISMA jayakan ‘Tukar Nama Asal, Hapus Jejak Penjajah’

Tuntut Parlimen, kerajaan negeri tukar nama tempat diberi penjajah

BANGI, 20 Zulhijjah 1441H, Isnin – Atas dasar kesedaran untuk mengembalikan jati diri negara berteraskan Melayu dan Islam, Pemuda Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) sekali lagi mengangkat inisiatif ‘Ini Negara Perjuangan’ sempena bulan kemerdekaan tahun ini.

Dengan slogan ‘Tukar Nama Asal, Hapus Jejak Penjajah’, kempen itu diwujudkan berikutan kekecewaan rakyat terhadap kempen kemerdekaan Malaysia Prihatin, yang gagal membawa mesej sebenar semangat perjuangan.

Jawatankuasa Gerakan Massa Pemuda ISMA, Soufi Anual berkata, beberapa aktiviti akan dilaksanakan sepanjang bulan kemerdekaan yang bertujuan mengembalikan semangat perjuangan dan patriotisme dalam kalangan masyarakat.

“Antaranya ialah Jelajah ‘Tukar Nama Asal, Hapus Jejak Penjajah’, wacana, forum, webinar dan pertandingan yang akan dilaksanakan di seluruh negara.

“Bagi aktiviti jelajah tersebut, Pemuda ISMA telah mengenal pasti beberapa tempat, khususnya kawasan bersejarah di seluruh negara yang masih menggunakan nama yang diberikan penjajah dan bukan nama asal tempat tersebut yang memiliki khazanah kegemilangan sejarah dan tamadun Melayu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Soufi berkata, Pemuda ISMA juga akan bekerjasama dengan NGO lain untuk menghantar memorandum tuntutan kepada Parlimen dan kerajaan negeri, bagi penukaran nama tempat dari yang diberikan penjajah kepada nama asal.

“Kami juga akan sentiasa memantau perkembangan tuntutan-tuntutan ini sehinggalah ia ditunaikan.

“Justeru, Pemuda ISMA bersedia mengerahkan 5,000 aktivis di seluruh negara untuk bersama-sama masyarakat menjayakan kempen pada tahun ini.

“Pemuda ISMA dengan hati terbuka bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak, termasuklah NGO dan badan berwajib untuk menjayakan kempen ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button