COVID-19: Kadar kes pulih di India meningkat 69 peratus
Kerajaan tingkat ujian saringan lebih 700,000 dalam tempoh sehari
NEW DELHI, 20 Zulhijjah 1441H, Isnin – Kadar kes pulih jangkitan COVID-19 di India meningkat kepada lebih 1.5 juta, iaitu 69 peratus setakat, hari ini.
Kementerian Kesihatan negara itu berkata, peningkatan jumlah kes pulih adalah berikutan tindakan agresif dan komprehensif kerajaan membuat saringan serta rawatan.
“Perkhidmatan ambulans yang lebih baik dan fokus kepada standard rawatan serta penggunaan oksigen bukan invasif telah memberikan hasil berkenaan,” kata kementerian itu.
Kerajaan India berkata, kes COVID-19 masih tertumpu di 10 negeri yang menyumbang kepada lebih 80 peratus kes baharu.
India melaporkan, 63,851 lagi kes baharu hari ini, dengan jumlah keseluruhan kepada 2,214,269, menurut data Kementerian Kesihatan.
Angka kematian baharu juga mencecah 1,000 orang – jumlah tertinggi dalam tempoh satu hari.
Pada Ahad, India mempertingkatkan ujian saringan kepada lebih 700,000 dalam tempoh satu hari, kata kerajaan dalam kenyataan, semalam. – Agensi