Berita Utama

Judi: Pejuang nahi mungkar, sikap patriotisme Mohd Asri wajar dicontohi

Patutnya pengasas Hot Burger Malaysia dilindungi, bukan dipersalahkan

BANGI, 20 Zulhijjah 1441H, Isnin – Tindak balas pihak berwajib dalam isu pembongkaran kewujudan premis judi haram dan penjualan rokok seludup di sekitar Jalan Besar, Bandar Baru Sungai Buloh menimbulkan persoalan di mata rakyat, kata Ketua Pemuda Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Arifin Manan.

Malah, tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat satu laporan polis bagi menafikan dakwaan dibuat Pengasas Hot Burger Malaysia, Mohd Asri Hamid juga membawa persepsi tidak baik ke atas pihak berkuasa tempatan (PBT) dan PDRM sendiri.

“Sepatutnya PBT dan PDRM memandang berat pembongkaran beliau dan memberikan perlindungan daripada risiko-risiko ugutan dan ancaman,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kata Arifin, keberanian Mohd Asri membongkar aktiviti dan kegiatan haram, walaupun ada risiko keselamatan terhadap dirinya sendiri patut dicontohi oleh rakyat Malaysia.

“Bagi saya ia adalah antara bukti patriotisme yang sebenar. Iaitu memperjuangkan nahi mungkar dalam menjaga sahsiah negara,” katanya.

Semalam, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, dakwaan wujud kegiatan perjudian di Bandar Baru Sungai Buloh seperti yang tular dalam laman sosial Facebook hanya tohmahan.

Katanya, individu terbabit – Mohd Asri tidak pernah tampil memaklumkan kepada polis kewujudan premis judi dan penjualan rokok seludup oleh warga asing dari Aceh, di kawasan berkenaan.

Hairan dengan respon itu, Arifin mengingatkan bahawa penguat kuasa mempunyai integriti dalam menjamin kesejahteraan dan keselamatan rakyat.

“Namun, jika berlakunya pengkhianatan terhadap kepercayaan, kami khuatir rakyat akan lebih selesa untuk bertindak sendiri dengan membelakangi pihak berkuasa yang sepatutnya menjadi penguat kuasa undang-undang,” katanya.

Justeru, beliau menegaskan, perkara sebegini perlu ditamatkan dengan secepat mungkin.

“Penyalahgunaan kuasa, rasuah, ketidakjujuran, dan pengkhianatan bakal menjadikan negara ini ketinggalan berpuluh tahun ke belakang.

“Seruan-seruan amalan integriti yang dilancarkan oleh SPRM dan Jabatan Penerangan Malaysia wajib dijuarai secara meluas dan menyeluruh oleh pihak berkuasa selaku pemegang amanah,” katanya.

Sehubungan itu, Pemuda ISMA mendesak siasatan yang telus dan jujur disegerakan ke atas mana-mana penguat kuasa yang terlibat sama ada pihak polis mahupun PBT.

“Pemuda ISMA juga memuji kepantasan SPRM memberi tindak balas terhadap pengadu sekaligus menjamin posisi pengadu sebagai saksi SPRM,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close