Berita Utama

Kerajaan timbang tubuh RCI Tabung Haji

'Segala dilakukan kerajaan dengan niat cari penyelesaian'

KUALA LUMPUR, 20 Zulhijjah 1441H, Isnin – Kerajaan bersedia mempertimbangkan cadangan dan kewajaran menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pelbagai isu yang dikaitkan dengan Tabung Haji.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, ketika menjelaskan perkara itu mengakui suatu badan bebas dan berkuasa harus diwujudkan untuk meneliti serta menilai transaksi TH.

Sehubungan itu, katanya, siri cadangan yang diutarakan pihak berkaitan demi merungkai polemik mengenai TH akan diputuskan menerusi mesyuarat Jemaah Menteri dalam tempoh terdekat.

Jemaah Menteri dalam tempoh terdekat akan membincangkan sedalam-dalamnya berkenaan isu TH, termasuk cadangan dan kewajaran penubuhan RCI.

“Ingin saya tegaskan bahawa segala yang dilakukan kerajaan adalah dengan niat suci untuk mencari titik penyelesaian yang boleh diterima semua pihak, selain paling penting, untuk pastikan semua urus tadbir TH menepati kepentingannya sebagai institusi milik umat Islam di negara ini.

“Sebagai menteri yang dipertanggungjawab menjaga institusi TH, saya tegaskan bahawa kerajaan akan teliti dan nilai semua transaksi yang dibuat TH.

“Baik yang dibuat sebelum ini atau akan datang. Fokus kerajaan ialah pastikan semua operasi pelaburan TH dijalankan dengan penuh integriti dan beramanah, selari matlamat serta hasrat penubuhannya,” katanya seperti dipetik Berita Harian.

Beliau berkata demikian menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah diraja bagi Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di Dewan Rakyat, hari ini.

Menghargai keprihatinan berhubung TH sehingga menyaksikan isu berkaitan institusi itu sering mengundang ‘pertikaman lidah’ ketika sidang Dewan Rakyat, Zulkifli menyifatkan perdebatan sedemikian adalah petunjuk positif.

“Kita amat memahami bagaimana pandangan yang diberikan Yang Berhormat (YB) semua, kami kumpul dan tengok, bukan sekadar bercakap, berbahas, berhujah, bahkan termasuk bertekak dengan begitu semangat sekali.

“Oleh itu, saya nyatakan isu TH ialah amat penting untuk kita lihat dan fahami dengan sebaiknya. Semua ahli YB suka dengan TH, sokong TH, suka tengok TH naik ke depan dan cuba untuk leraikan semua masalah berkaitan TH.

“Saya nak ucap terima kasih kerana prihatin betul bab TH. Pada masa ini, keutamaan kita adalah pastikan TH bergerak berdasarkan landasan dan matlamatnya,” katanya lantas memberikan salam serta mengakhiri sesi penggulungan.

Seakan belum puas kerana mempunyai pelbagai persoalan yang belum terjawab, beberapa Ahli Parlimen dari blok kerajaan dan pembangkang bangun mencelah bagi mendapatkan penjelasan lanjut.

Sambil menekan butang mikrofon, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim (BN-Baling), Datuk Seri Mujahid Yusof (AMANAH-Parit Buntar) dan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PKR-Kulim Bandar Bharu), masing-masing berselang seli mengemukakan soalan.

Desakan dari tiga penjuru itu bagaimanapun gagal membuahkan hasil apabila Zulkifli tetap dengan pendirian untuk mengakhiri sesi penggulungan dengan isu berkaitan TH.

“Oleh kerana saya tiada masa, saya nok (nak) mintok (minta) maaf banyak-banyak, kita sembang luar sana nanti. Assalamualaikum waramatullah hiwabarokatuh,” katanya dalam dialek Terengganu.

Bertindak meleraikan keadaan, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon, berkata keputusan memberikan sebarang pencelahan terletak kepada budi bicara menteri, selain sekiranya masih mempunyai waktu untuk berbuat demikian.

“Menteri pun sudah bagi wasalam, menamatkan ucapan beliau,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close