Dunia

Letupan Beirut: Rakyat protes luar Parlimen, tuntut kerajaan undur

Pihak berkuasa terpaksa lepas gas pemedih surai penunjuk perasaan

BEIRUT, 20 Zulhijjah 1441H, Isnin – Protes di Lubnan semakin tegang apabila kebanyakan penunjuk perasaan sudah mula bertindak ganas dengan menyerang pihak berkuasa dan badan perundangan, susulan kemarahan mereka terhadap tragedi letupan di Beirut, 4 Ogos lalu. 

Ribuan penunjuk perasaan berkumpul di kawasan Parlimen dan melempar batu ke arah bangunan berkenaan, sebagai menuntut pengunduran kerajaan berikutan tragedi letupan di Pelabuhan Beirut, minggu lalu. 

Protes berkenaan diadakan ketika persidangan penyumbang antarabangsa dilancarkan untuk membiayai kos pemulihan akibat daripada kemusnahan itu. 

Demonstrasi menjadi semakin tegang apabila penunjuk perasaan mula bertempur dengan polis dan tentera, sebelum pihak berkuasa memutuskan berundur daripada tempat protes. 

Pihak berkuasa cuba menyuraikan penunjuk perasaan dengan melepaskan gas pemedih mata, sementara ratusan lelaki bertindak melempar runtuhan daripada letupan ke arah mereka.

Orang ramai menyerang badan perundangan, yang dipersalahkan berikutan gagal berfungsi dengan baik sehingga menyebabkan tragedi itu. 

Pada Ahad, Menteri Maklumat Lubnan, Manal Abdel Samad mengumumkan pengundurannya daripada kerajaan – menteri pertama meletak jawatan – sejak letupan yang mengorbankan lebih 150 nyawa itu. 

“Setelah bencana besar di Beirut, saya mengumumkan pengunduran diri saya daripada kerajaan,” katanya dalam kenyataan yang turut meminta maaf kepada rakyat. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button