Berita Utama

Mustahil video tular fitnah! Segera tutup premis judi: Presiden UMNO

Kepentingan individu cuma mahu penguatkuasaan dijalankan

BANGI, 20 Zulhijjah 1441H, Isnin – Mustahil video tular seorang individu yang mendakwa pihak berkuasa tidak mengambil tindakan terhadap kegiatan judi di sebuah daerah di Selangor sebagai satu fitnah, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Presiden UMNO itu berkata, kepentingan individu terbabit cuma mahu penguatkuasaan dijalankan secara berkesan.

“Saya kasihan dengan nasib pengasas Hot Burger. Mustahil dia buat fitnah. Kepentingan dia cuma mahu penguat kuasa dijalankan secara berkesan.

“Aktiviti judi haram berleluasa. Yang menjadi mangsa mereka yang berpendapatan rendah tetapi mahu cepat kaya. Akhirnya mereka merana,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Serentak itu, Ahli Parlimen Bagan Datok itu menyokong tindakan penutupan premis judi disegerakan.

“Secara peribadi, saya menyokong tindakan penutupan premis judi disegerakan,” katanya.

Sebelum ini, tular satu video yang disiarkan secara langsung menerusi laman sosial Facebook Hot Burger Malaysia serta dikongsi akaun Asri Janggut mendakwa, pihak berkuasa tidak mengambil tindakan terhadap kes judi serta mendedahkan lokasi perjudian di Bandar Baru Sungai Buloh.

Lelaki dikenali sebagai Mohd Asri Hamid mendakwa demikian selepas tidak berpuas hati beberapa gerai yang menjual burger pada waktu malam disita oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), sedangkan beberapa kedai haram milik warga asing dan kedai perjudian dibiarkan beroperasi tanpa tindakan.

Bagaimanapun, polis menafikan dakwaan berkenaan dan menjelaskan telah melakukan 40 serbuan dan 132 tangkapan bagi kes perjudian di sekitar kawasan itu sehingga Julai tahun ini.

Difahamkan, polis akan memanggil individu terbabit dalam masa terdekat bagi membantu siasatan berhubung video yang ditularkannya itu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close