Berita Utama

Palestin berterima kasih kepada Malaysia bantu tangani COVID-19

Hubungan akrab Malaysia, Palestin akan terus diperkukuh

KUALA LUMPUR, 20 Zulhijjah 1441H, Isnin – Kerajaan Palestin berterima kasih kepada Malaysia atas kerjasama yang diberikan Kementerian Kesihatan negara ini dalam membantu mencari kaedah terbaik menangani pandemik COVID-19 di negara berkenaan, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang menerima kunjungan hormat Duta Besar Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali di pejabatnya di bangunan Parlimen hari ini berkata kerajaan Palestin turut merakamkan penghargaan kepada Malaysia atas sumbangan kit kesihatan yang dihantar ke negara itu pada Mei lepas.

Menurutnya langkah itu telah bermula apabila Menteri Kesihatan kedua-dua negara mengadakan sidang video bagi membincangkan kerjasama berkenaan baru-baru ini.

“Dalam pertemuan saya dengan Duta Besar, kami membincangkan pelbagai perkara membabitkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Palestin termasuk peranan yang boleh dimainkan kedua-dua pihak dalam memperjuangkan hak dan kebebasan rakyat Palestin, dari sebarang bentuk penindasan,” katanya menerusi akaun Facebooknya hari ini.

Perdana menteri menegaskan hubungan akrab Malaysia dan Palestin terus diperkukuh dan kerajaan Malaysia kekal dengan komitmennya menyokong dan memperjuangkan hak Palestin di pentas dunia.

“Walid Abu Ali juga mengambil maklum, Malaysia berpendirian tegas dalam membawa suara dan hak Palestin di platform antarabangsa seperti di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM) dan organisasi antarabangsa lain.

“Pertemuan ini adalah pertama kali sejak saya dilantik sebagai Perdana Menteri. Duta Besar itu turut menyerahkan perutusan terima kasih serta ucapan Hari Raya Aidiladha daripada Presiden Mahmoud Abbas kepada saya,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close