Berita Utama

Pihak berkuasa berlaku zalim kepada Asri Janggut: PEMBELA

Beliau sepatut dilindungi bukan dijadi sebagai sasaran

BANGI, 20 Zulhijjah 1441H, Isnin – Pemilik perniagaan Hot Burger Malaysia, Mohd Asri Hamid yang mendedahkan, kewujudan kegiatan judi dan penjualan rokok seludup di Bandar Baru Sungai Buloh sewajarnya dilindungi dan bukan menjadi sasaran pihak berkuasa.

Naib Pengerusi PEMBELA, Ustaz Masrizi Sat berkata, tindakan Mohd Asri yang seolah-olah menegur perkara tidak betul sepatutnya diucapkan terima kasih atau sekurang-kurangnya diberi perlindungan keselamatan.

“Apabila saya melihat perkara ini, ia sudah menjadi kezaliman. Pihak berkuasa berlaku zalim menindas orang yang mangsa (ketika) COVID-19. Menindas bangsa pribumi kita sendiri.

“Maka, sudah tentu bila berlaku kezaliman dan penindasan kami dari pergerakan gabungan NGO-NGO Islam dan juga pelbagai lagi mereka yang berpegang kepada prinsip amar mahruf nahi mungkar tidak akan berdiam diri,” tegasnya menerusi siaran langsung yang disiarkan di Facebook PEMBELA, hari ini.

Mohd Asri yang dikenali Asri Janggut sebelum ini mendakwa, wujud beberapa premis judi serta gerai peniaga warga Indonesia keturunan Aceh yang menjual rokok seludup di sekitar Jalan Besar Bandar Baru Sungai Buloh.

Pendedahannya menerusi tiga siaran langsung di Facebook Hot Burger Malaysia tular sejak, kelmarin.

Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar menafikan, dakwaan itu dan berkata ia satu fitnah yang mendatangkan keresahan dalam kalangan masyarakat dan menjatuhkan reputasi PDRM.

Dalam perkembangan berkaitan, Ustaz Masrizi menyarankan, supaya NGO menjadi satu badan yang memainkan peranan semak dan imbang membantu pembuat dasar serta pelaksana.

Beliau berkata, ini supaya operasi pihak berkuasa dapat dibaiki kelemahannya dan ditingkatkan pretasi serta kualiti.

Selain itu, katanya, tuntutan PEMBELA kepada Perdana Menteri nanti turut mencadangkan penubuhan majlis pemulihan atau pemantapan integriti penguatkuasaan diwujudkan dengan menggabungkan ulama, pakar NGO, SPRM, penguat kuasa dan jabatan integriti agensi.

Saranan itu berikutan masalah gejala sosial dan intergriti yang begitu teruk terutamanya rasuah, penyalahgunaan kuasa dan subahat kepada pengkhianat negara yang berlaku begitu banyak lagi tenat, katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close