RM20 juta SJKC: Jangan layan tuntutan bersifat rasis
Sokong usaha bangun sistem pendidikan inklusif, pupuk perpaduan
BANGI, 20 Zulhijjah 1441H, Isnin – Kerajaan tidak perlu melayan tuntutan dari pihak yang mahu peruntukan sebanyak RM20 juta kepada pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) terus menerus disalurkan tiap tahun.
Ahli Jawatankuasa Pusat Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Zaizul Azizi Zaman berkata, peruntukan itu perlu dinilai kembali apatah lagi apabila ia diberikan kepada sekolah yang bersifat ‘memisahkan’ dan berasaskan kaum.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching yang kecewa dengan reaksi negatif kerajaan Perikatan Nasional (PN) berhubung peruntukan kepada pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Poay Chai di Johor.
Nie Ching berkata, selepas Pakatan Harapan (PH) memerintah sepatutnya sebanyak RM20 juta diperuntukkan setiap tahun untuk tujuan pembinaan SJKC.
Katanya, jumlah peruntukan yang telah disalurkan kepada SJKC Poay Chai ialah sebanyak RM4 juta iaitu sebanyak RM1.5 juta pada tahun 2018 dan RM2.5 juta pada tahun 2019.
“Rancangan asal adalah untuk menyalurkan RM3 juta kepada jawatankuasa pembinaan pada awal tahun ini. Tetapi, selepas perubahan pemerintahan – Perikatan Nasional (PN), tiada susulan berkenaan peruntukan ini.
“Saya telah bertanya beberapa kali kepada PN sama ada akan terus memberi peruntukan RM20 juta setahun untuk pembinaan SJKC, tetapi belum mendapat jawapan positif,” katanya.
Mengulas perkara itu, Zaizul berkata, kerajaan tidak wajar melayani sebarang tuntutan yang bersifat rasis dan tidak hormat kepada identiti kebangsaan.
Tegasnya lagi, pemisahan berasaskan kaum daripada peringkat sekolah juga telah terbukti membawa kepada perpecahan.
“Kerajaan sepatutnya memperkasakan sekolah kebangsaan untuk semua rakyat tanpa mengira kaum.
“Kita akan sokong sebarang usaha untuk membangun sistem pendidikan yang inklusif yang memupuk perpaduan,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.