Berita Utama

Tauke judi di Malaysia sudah lama ‘kebal’

Gesa polis, PBT jalankan tugas dengan jujur dan ikhlas: Aminuddin

BANGI, 20 Zulhijjah 1441H, Isnin – Tauke-tauke judi memang sudah sekian lama ‘kebal’, maka pendedahan seorang individu yang tular di media sosial bukan lagi perkara mengejutkan, kata Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya.

Sebelum ini, tular satu video yang disiarkan secara langsung menerusi laman sosial Facebook Hot Burger Malaysia serta dikongsi akaun Asri Janggut mendakwa, pihak berkuasa tidak mengambil tindakan terhadap kes judi serta mendedahkan lokasi perjudian di Bandar Baru Sungai Buloh.

Lelaki dikenali sebagai Mohd Asri Hamid mendakwa demikian selepas tidak berpuas hati beberapa gerai yang menjual burger pada waktu malam disita oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), sedangkan beberapa kedai haram milik warga asing dan kedai perjudian dibiarkan beroperasi tanpa tindakan.

Memuji keberanian Mohd Asri, Haji Aminuddin berkata, apa yang berlaku terhadapnya menimbulkan persoalan kepada rakyat, jika aduan seumpama itu bakal menyusahkan pengadu.

“Kepada siapa lagi rakyat nak mengadu jika mengadu kepada pihak polis dan PBT pun tidak membantu, malah menyusahkan pengadu sahaja?

“Beliau telah menjalankan pelbagai usaha membuat laporan polis di beberapa jabatan namun hasilnya sangat menghampakan,” katanya dalam kenyataan.

Lebih menghairankan, Haji Aminuddin berkata, apabila tauke-tauke judi terbabit tahu ada laporan polis yang dibuat oleh Mohd Asri terhadap mereka.

“Siapa yang membocorkan maklumat ini apabila sepatutnya hanya beliau dan pihak polis sahaja yang mengetahuinya?

“Semalam pihak polis Sungai Buloh telah menafikan segalanya tetapi Encik Asri mempunyai maklumat lengkap termasuk video sebagai bahan bukti. Kenapa polis kata tiada pula?,” katanya.

Beliau turut kesal apabila pihak berkuasa tempatan (PBT) pula seolah-olah memihak kepada tauke judi berbanding melindungi rakyat yang membuat laporan.

“Apakah ini sikap yang wajar dari sebuah PBT? Saya menyeru dan merayu kepada pihak polis dan PBT, jalankanlah kerja kamu dengan jujur dan ikhlas.

“Jangan pandang remeh pada teknologi yang ada pada hari ini kerana rakyat tidak mudah lagi diperbodohkan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close