Berita Utama

Tiada lagi amaran kepada pihak pasang bendera terbalik

Tindakan letak kesalahan ke atas orang lain tidak wajar

JOHOR BAHRU, 20 Zulhijjah 1441H, Isnin – Mana-mana pihak yang didapati memasang Jalur Gemilang secara terbalik selepas ini tidak lagi akan diberikan amaran atau kompromi, tetapi akan terus dikenakan tindakan tegas.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kertas siasatan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan atau Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 akan dibuka terhadap mereka yang masih tidak tahu menghormati bendera negara sendiri.

“Isu pasang bendera Malaysia terbalik sudah banyak kali dibuat, negara kita sudah 63 tahun merdeka dan ini tidak sepatutnya berlaku.

“Selepas ini saya tidak lagi akan memberi amaran. Jika ada lagi kes ini saya akan arahkan pegawai penyiasat untuk buka kertas siasatan. Tiada lagi permohonan maaf akan diberikan selepas ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Terdahulu, tular gambar Jalur Gemilang yang dipasang secara terbalik di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di Kluang, Johor.

Gambar kejadian itu menjadi tular selepas dikesan orang awam yang melalui di hadapan sekolah berkenaan.

Pemimpin lembaga pengelola sekolah, Lee Siong Moon berkata, kesilapan itu berpunca daripada seorang pekerja am yang berumur 50 tahun.

“Kami menyedari berlaku sesuatu yang tidak kena semasa bendera dipasang dan segera melakukan pembetulan, tetapi tindakan netizen adalah lebih pantas.

”Pada masa itu, terdapat dua bendera yang dipasang secara silap dan dijadikan isu oleh orang yang berjaya merakamkannya, pihak sekolah kesal dan kecewa dengan apa yang berlaku,” katanya kepada Sinchew Daily.

Bagaimanapun, Ayob Khan seperti dilapor Sinar Online berkata, tindakan meletakkan kesalahan itu ke atas pihak lain adalah tidak wajar dan tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata, ‘kesalahan’ tersebut adalah kali terakhir dan selepas ini tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang tergamak berbuat demikian.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close