Tiada ‘political will’, rasuah punca aktiviti judi gagal dibanteras
Kuat kuasa undang-undang sedia ada hanya aktiviti ikut SOP
BANGI, 20 Zulhijjah 1441H, Isnin – Isu aktiviti perjudian yang dipercayai didalangi tauke Cina hanya akan menambahkan rasa sakit hati orang Melayu, sekiranya tidak ditangani dengan baik oleh pemimpin negara.
Naib Presiden Barisan Jemaah Islamiyah Se-Malaysia (BERJASA), Ustaz Mohd Hazizi Ab Rahman percaya, wujud kelompongan di pelbagai peringkat menyebabkan isu berkaitan aktiviti perjudian tidak selesai, termasuk yang tular sejak beberapa hari lalu.
Sebelum ini, tular satu video yang disiarkan secara langsung menerusi laman sosial Facebook Hot Burger Malaysia serta dikongsi akaun Asri Janggut mendakwa, pihak berkuasa tidak mengambil tindakan terhadap kes judi serta mendedahkan lokasi perjudian di Bandar Baru Sungai Buloh.
Lelaki dikenali sebagai Mohd Asri Hamid mendakwa demikian selepas tidak berpuas hati beberapa gerai yang menjual burger pada waktu malam disita oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), sedangkan beberapa kedai haram milik warga asing dan kedai perjudian dibiarkan beroperasi tanpa tindakan.
Bagaimanapun, polis menafikan dakwaan berkenaan dan menjelaskan telah melakukan 40 serbuan dan 132 tangkapan bagi kes perjudian di sekitar kawasan itu sehingga Julai tahun ini.
Difahamkan, polis akan memanggil individu berkenaan dalam masa terdekat bagi membantu siasatan berhubung video yang ditularkannya itu.
Mengulas perkara itu, Ustaz Mohd Hazizi berkata, serbuan yang dilakukan pihak berkuasa sejak berpuluh tahun dahulu, tidak membasmi kegiatan haram berkenaan.
“Kita semua tahu adalah perkara biasa sebarang serbuan dihidu lebih awal oleh sindiket perjudian. Bukan perkara pelik. Begitu juga serbuan-serbuan aktiviti maksiat pelacuran.
“Penguatkuasaan undang-undang sedia ada hanyalah aktiviti-aktiviti mengikut SOP. Itu sebab pengadu pula yang dicari dalam kes ini,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, isu berkenaan tidak akan selesai kerana tiada ‘political will’ untuk membanteras secara habis-habisan kegiatan berkenaan, selain wujudnya salah guna kuasa dan rasuah dalam kalangan sebahagian anggota penguat kuasa.
“Kes subahat anggota penguat kuasa dalam melindungi kegiatan haram seperti yang didedahkan di Johor sudah tentu wujud di negeri-negeri lain.
“Kita memerlukan pemimpin yang berwibawa,” katanya.