Berita Utama

Tuntutan hak minyak, gas Sarawak tumpuan Parlimen hari ini

Turut dibangkit minta kerajaan luaskan penggunaan komoditi getah

KUALA LUMPUR, 20 Zulhijjah 1441H, Isnin – Penyelesaian komersial dalam tuntutan hak minyak dan gas di Sarawak adalah antara perkara yang bakal dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, isu tersebut terkandung dalam sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan, Datuk Seri Rohani Abdul Karim (GPS-Batang Lupar) bertanya Perdana Menteri mengenai usaha kerajaan mewujudkan jawatankuasa khas bagi meneruskan perbincangan untuk mendapatkan penyelesaian komersial itu.

Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid (PH-Kapar) pula bertanyakan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri mengenai garis panduan terhadap syarikat yang mahu membuat pelaburan di dalam dan luar negara tetapi masih terpalit dengan isu bayaran pampasan dan sebagainya.

Isu getah turut dibangkitkan oleh Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) yang meminta Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi menyatakan usaha kerajaan meluaskan lagi penggunaan getah sebagai elemen utama dalam pembinaan jalan raya dan jika penggunaan getah ini dapat meningkatkan harga getah yang terlalu lesu sekarang.

Menteri-menteri di Jabatan Perdana Menteri turut dijadual menggulung perbahasan menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong hari ini.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 25 hari sehingga 27 Ogos berpandukan kebiasaan baharu dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengekang penularan COVID-19. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button