Bendera terbalik: Ketegasan luar biasa Ayob Khan wajar dicontohi
Tindakan pasang bendera Malaysia terbalik perbuatan khianat
Oleh Athirah Huda Zalhe
BANGI, 21 Zulhijjah 1441H, Selasa – Ketegasan Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dalam insiden bendera terbalik seharusnya dicontohi, kerana isu seumpama itu akan terus berulang jika tiada sebarang tindakan.
Ahli Jawatankuasa Pusat Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Omar Kassim berkata, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak perlu menunggu laporan dibuat untuk bertindak terhadap sebarang tindakan yang mempermainkan simbol negara, termasuk bendera Malaysia.
Justeru, jika wujud lagi insiden bendera terbalik atau seumpamanya, tindakan mesti diambil terhadap pihak pengurusan tertinggi yang bertanggungjawab, katanya.
“Contohnya dalam kes terkini di Kluang, pengetua yang berkenaan mesti bertanggungjawab bukan dengan mudah dan selamba mengatakan ia adalah kesilapan pembantu am.
“Jika perkara sebegini berulang, pengetua tersebut yang harus dikenakan tindakan,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.
Semalam, Ayob Khan menegaskan mana-mana pihak yang didapati memasang Jalur Gemilang secara terbalik tidak lagi akan diberikan amaran atau kompromi, tetapi dikenakan terus tindakan tegas.
Beliau berkata, kertas siasatan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan atau Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 akan dibuka terhadap mereka yang masih tidak tahu menghormati bendera negara sendiri.
“Isu pasang bendera Malaysia terbalik sudah banyak kali dibuat, negara kita sudah 63 tahun merdeka dan ini tidak sepatutnya berlaku,” katanya.
Bersetuju dengan ketegasan Ayob Khan itu, Omar menyifatkan tindakan memasang bendera terbalik adalah perbuatan khianat terhadap negara.
“Saya sangat bersetuju kerana sudah terlalu lama berulang.
“Tindakan memasang bendera terbalik adalah perbuatan khianat terhadap negara yang tidak boleh diterima, apatah lagi kita di bulan kemerdekaan,” katanya.