Berita Utama

Harap usul tukar nama Bukit Melaka dibawa ke Mesyuarat Kerajaan Negeri

Jangan terkesan provokasi yang sengaja polemik isu demi perhatian

BANGI, 21 Zulhijjah 1441H, Selasa – Penukaran kembali nama tempat yang diberikan penjajah kepada zaman tamadun Melayu adalah langkah wajar untuk menghidupkan semula naratif sejarah kegemilangan bangsa.

Presiden gerakan Islam Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya berkata, Melaka adalah pusat pelancongan terpenting negara, apatah lagi negeri itu merupakan tempat empayar Melayu masyhur bertapak sebelum dilenyapkan dengan peninggalan penjajah.

Bagaimanapun, beliau pelik dengan sikap parti politik yang sudah lama menjadi sebahagian daripada kerajaan seperti MCA, boleh menentang secara keras usul Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) menukar nama Bukit St Paul kepada Bukit Melaka.

“Kita berharap agar perkara ini dapat diambil perhatian serta dibawa ke peringkat kerajaan negeri, khususnya ke mesyuarat Exco negeri bagi merealisasikan agenda ini.

“Kita minta jangan terkesan dengan provokasi-provokasi parti komponen yang saya anggap ‘mengada-ngada’ sahaja mempolemikkan isu demi perhatian.

“Bukan Melaka sahaja, tetapi saya harap negeri-negeri lain dapat mengambil langkah-langkah proaktif dalam mengenal pasti mana-mana tempat yang boleh ditukar kembali sebegini juga,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahad lalu, Pemuda ISMA dan Belia Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) mengadakan himpunan aman di Bukit St Paul, sekali gus melancarkan kempen ‘Tukar Nama Asal, Hapus Jejak Penjajah’.

Usaha Pemuda ISMA itu mendapat perhatian Ketua Menteri Melaka, Datuk Sulaiman Md Ali, yang memaklumkan bahawa pihak kerajaan negeri belum menerima usul pertukaran nama seperti dicadangkan PERZIM.

Katanya, banyak perkara perlu diperhalusi mengenai perkara itu, terutama membabitkan pewartaan yang dibuat oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) yang mengisytiharkan Melaka sebagai Bandaraya Warisan Dunia.

“Nak tukar (nama tempat) perlu lihat kepada sejarah kerana kita tak boleh tukar sewenangnya. Panggillah pengkaji sejarah mana pun, ia tidak boleh menukar nama (sebaliknya) mereka boleh mencadangkan supaya nama itu ditukar.

“Jika saya sudah terima nanti, ia akan dibincangkan dalam mesyuarat EXCO bagi mendapatkan pandangan sekali gus mencapai kata sepakat sebelum mengumumkannya,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button