Berita Utama

Harga siling pelitup muka tumpuan Dewan Rakyat hari ini

Apa rasional naik harga maksimum topeng muka tiga lapis ke RM1.50

KUALA LUMPUR, 21 Zulhijjah 1441H, Selasa – Isu harga siling pelitup muka antara perkara yang bakal dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, isu itu terkandung dalam sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan yang diajukan oleh Chong Chieng Jen (DAP-Stampin) kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Chong bertanya mengenai rasional KPDNHEP menaikkan harga maksimum topeng muka tiga lapis daripada RM0.80 sen sekeping ke RM1.50 sekeping.

Kasthuriraani Patto (DAP-Batu Kawan) pula dijangka bertanyakan Menteri Dalam Negeri mengenai bilangan kanak-kanak bawah umur 18 tahun di Sekolah Henry Gurney dan tahanan imigresen secara terperinci mengikut lokasi pusat tahanan dan tahanan imigresen serta pecahan kewarganegaraan mereka.

Kasthuriraani turut bertanyakan langkah Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat untuk menangani isu kanak-kanak dalam tahanan imigresen.

Sementara itu, Khoo Poay Tiong (DAP-Kota Melaka) pula akan mengajukan soalan kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya mengenai langkah atau program jangka pendek daripada segi ‘upskilling’ (peningkatan kemahiran) dan ‘reskilling’ (pengambilan semula) pekerja dalam industri pelancongan yang terkesan oleh COVID-19.

Isu kualiti Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) turut dibangkitkan oleh Maszlee Malik (Bebas-Simpang Renggam) yang meminta Menteri Pendidikan menyatakan langkah dan inisiatif kementerian dalam menjaga dan mempertingkatkan kualiti PISMP supaya standard pengajaran guru sentiasa pada tahap cemerlang.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 25 hari sehingga 27 Ogos berpandukan kebiasaan baharu dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengekang penularan COVID-19. = Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button