Berita UtamaIstimewa

Hayat Bersatu mungkin sampai PRU15 saja

Tak mustahil UMNO 'tunjuk taring' bertanding semua kerusi

BANGI, 21 Zulhijjah 1441H, Selasa – Perpecahan yang berlaku di peringkat akar umbi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ketika ini, memungkinkan hayat parti itu mampu bertahan setakat Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sahaja.

Bersatu dilihat terumbang-ambing selepas bekas Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan penubuhan parti baharu, Jumaat lalu. 

Ahli dan pemimpin Bersatu mula keluar parti, termasuk bekas Ahli Majlis Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk A Kadir Jasin dan MPT Bersatu, Ulya Aqamah Husamudin. 

Beberapa pemimpin Bersatu di Selangor bersama ahli akar umbi membabitkan Bahagian Kuala Selangor, Klang dan Bangi juga bertindak keluar parti. 

Di Langkawi, Timbalan Ketua Bahagiannya, Shukor Bahari mengumumkan peletakan jawatan. Turut sama meletakkan jawatan dan keluar parti ialah 22 daripada 25 ahli jawatankuasa Bersatu Bahagian Langkawi. 

Serentak itu, sebanyak 16 cawangan Bersatu Bahagian Langkawi melibatkan lebih 4,900 ahli turut terbubar secara automatik. Difahamkan, gelombang keluar parti ini akan merebak ke seluruh negeri. 

Mengulas pergolakan dalam Bersatu, Amir gerakan Islam Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman percaya Bersatu mungkin sukar untuk menstabil dan mempertahan kedudukan, apatah lagi UMNO sudah mula mempertahankan beberapa kerusi yang dibawa keluar ahli Bersatu sebelum ini.

Beliau turut menjangkakan berlaku konflik dalaman di antara Bersatu dan UMNO – yang sudah mengisytiharkan tidak bersama dengan Perikatan Nasional (PN).

“Jika tiada sebarang campur tangan Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perbicaraan pemimpin-pemimpin UMNO, parti itu akan tunjuk taring dengan bertanding di semua kerusi.

“Jadi, berkemungkinan Bersatu tiada tempat dalam PRU15, dan kemungkinan juga hayatnya hanya sampai PRU15 sahaja,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Bersatu ditubuhkan secara rasmi pada September 2016 yang dikhususkan kepada orang Melayu, yang didakwa sebagai pengganti kepada UMNO. 

Bagaimanapun, sejak Februari lalu, parti berkenaan berdepan konflik dalaman apabila berpecah kepada dua kem di antara Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Dr Mahathir.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button