Berita Utama

Agong, Raja Permaisuri solat sunat Aidilfitri di Masjid Wilayah Persekutuan

Kali pertama Yang di-Pertuan Agong tunai solat sunat tersebut di luar dari Istana Negara berikutan PKP tahun lalu

KUALA LUMPUR, 1 Syawal 1443H, Isnin – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Wilayah Persekutuan, hari ini.

Pasangan diraja itu berangkat tiba di masjid berkenaan pada 8.14 pagi bersama anakanda Seri Paduka Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah.

Solat sunat itu dipimpin Imam Besar Masjid Wilayah Persekutuan Muhyidin Aziz @ Saari dan disertai Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang tiba pada 8.07 pagi.

Turut menyertai solat sunat Aidilfitri adalah anggota Jemaah Menteri serta Timbalan Menteri bersama pasangan dan orang awam.

Ini adalah kali pertama Yang di-Pertuan Agong menunaikan solat sunat itu di luar dari Istana Negara.

 Sebelum ini, Seri Paduka menunaikan solat sunat Aidilfitri di Istana Negara berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara sejak dua tahun lepas.

Solat sunat berkenaan telah dilaksanakan mengikut ketetapan baharu berhubung kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) di masjid dan surau Wilayah-Wilayah Persekutuan berkuat kuasa hari ini selaras pengumuman kerajaan berkaitan kelonggaran SOP di masjid dan surau.

Ketetapan tersebut meliputi antaranya pemansuhan masing-masing bagi imbasan kod QR MySejahtera untuk daftar masuk ke masjid dan surau, penggunaan sejadah sendiri serta penjarakan fizikal antara jemaah dalam semua keadaan di masjid dan surau.

Selain itu, kemasukan ke masjid dan surau dibenarkan tanpa mengira status vaksinasi kecuali jemaah yang berstatus ‘Berisiko Tinggi’ atau di bawah Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) dan pemakaian pelitup muka diwajibkan di dalam masjid dan surau yang tertutup namun, tidak diwajibkan di kawasan terbuka atau di luar dari kawasan itu.

Khutbah Aidilfitri bertajuk ‘Kemenangan Menuju Keredhaan’ dibacakan Muhyidin, antaranya menyeru umat Islam seluruh negara melaksanakan kawalan kendiri sebaiknya dan melengkapkan pengambilan vaksin penggalak serta vaksinasi untuk anak bagi mengurangkan risiko lebih teruk akibat wabak COVID-19.

Selain itu, umat Islam turut diseru untuk bersama-sama memperbaiki hubungan persaudaraan.

Sebelum berangkat pulang, Al-Sultan Abdullah berkenan meluangkan masa beramah mesra dan bersalaman dengan para jemaah.

Perdana Menteri juga turut meluangkan masa beramah mesra dan bersalaman dengan jemaah.

Pasangan Seri Paduka kemudian berangkat meninggalkan masjid kira-kira 9.15 pagi dan diikuti Ismail Sabri dan Jemaah Menteri serta Timbalan Menteri. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button