Letupan Beirut: PM Lubnan letak jawatan, akui rasuah jadi punca
Anggota kerajaan diminta kekal sehingga Kabinet baharu dibentuk
BEIRUT, 21 Zulhijjah 1441H, Selasa – Kerajaan Lubnan akhirnya tumbang selepas Perdana Menteri, Hassan Diab menyalahkan amalan rasuah sebagai punca kepada tragedi letupan dasyat di Pelabuhan Beirut, minggu lalu.
Presiden Lubnan, Michel Aoun menerima peletakan jawatan Hassan Diab semalam, dan meminta anggota kerajaan kekal menggalas jawatan sementara sehingga Kabinet baharu dibentuk.
Ketegangan memuncak di negara itu berikutan tragedi letupan besar di pelabuhan Beirut yang mengorbankan kira-kira 200 orang, dan mencederakan 6,000 yang lain – menurut jumlah terbaharu.
“Tragedi itu adalah kesan daripada rasuah yang lebih besar dari negeri. Dengan ini, saya mengumumkan peletakan jawatan daripada kerajaan. Semoga Tuhan melindungi Lubnan,” kata Hassan Diab.
Keputusan itu dibuat ketika negara berdepan protes ribuan penunjuk perasaan yang menuntut pengunduran kerajaan, kerana bertanggungjawab dalam insiden berkenaan.
Protes berkenaan bertukar ganas sejak hujung minggu lalu, apabila 728 orang cedera dan seorang anggota polis terbunuh.
Dalam kejadian 4 Ogos lalu, pihak berkuasa mengesahkan letupan berpunca daripada 2,750 tan ammonium nitrat yang disimpan secara tidak selamat di pelabuhan berkenaan sejak enam tahun lalu.
Kebanyakan rakyat Lubnan menyalahkan rasuah dan kegagalan kerajaan, sehingga menyebabkan tragedi letupan yang membawa kepada kerugian AS$15 bilion dan 300,000 orang hilang tempat tinggal. – Agensi