Berita UtamaUncategorized

PRU15: PAS yakin boleh menang banyak kerusi di Pahang

Kemuka calon berkebolehan, mampu khidmat untuk rakyat

BANGI, 2 Rabiulakhir 1444H, Jumaat – PAS Pahang yakin mampu memenangi lebih banyak kerusi menerusi gabungan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pesuruhjaya PAS Pahang, Rosli Abdul Jabar berkata, bagi merealisasikan impian itu, rakan komponen termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Gerakan kini bekerja keras bagi menewaskan Barisan Nasional (BN).

PAS sebelum ini memenangi lapan kerusi pada pilihan raya umum lalu ketika bertanding secara solo dan kalah tipis di beberapa kerusi lain.

“InsyaAllah kali ini, PAS akan bertanding secara gabungan bersama Bersatu dan Gerakan.

“ Dengan sokongan baru daripada parti gabungan ini, kita yakin PN akan mendapat pertambahan kerusi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Lumpur ini berkata, PAS juga akan mengemukakan calon yang berkebolehan untuk menang dan boleh berkhidmat untuk rakyat, termasuk lapan bekas ADUN yang berpengalaman dalam pentadbiran.

Mengulas lanjut, Rosli berkata, Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor menyaksikan undi BN tidak bertambah, namun peningkatan dan pertambahan undi begitu mendadak kepada PN.

“Sekiranya trend ini berterusan dan berlaku di Pahang, tidak mustahil PN dapat memerintah negeri ini,” katanya.

Pada masa sama, Naib Pengerusi PN itu turut yakin rakyat kini semakin bijak dan matang dalam menilai serta membuat pemilihan pemimpin yang berintegriti dan membela nasib mereka.

“Kalau nak dibandingkan dengan BN kita masih bersih dan tidak berdepan isu integriti seperti rasuah, salah guna kuasa dan lain-lain masalah.

“Pakatan Harapan (PH) pula hanya mempunyai sokongan kuat di kerusi- kerusi pengundi bukan Melayu, namun purata senario ini tidak menyeluruh, hanya tempat-tempat tertentu sahaja,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button