Berita Utama

Sikap cakna masyarakat jadi sinar baharu banteras aktiviti judi haram

PEMBELA juga harap kuasa media sosial beri impak dalam isu ini

BANGI, 21 Zulhijjah 1441H, Selasa – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) menggesa semua pihak untuk terus berusaha mengekang aktiviti perjudian di negara ini.

Pengerusinya, Haji Aminuddin Yahaya dalam satu kenyataan berharap, dengan kuasa teknologi dan media sosial akan memberi impak besar kepada isu pusat perjudian di negara ini.

“Sebenarnya pada tiga tahun yang lalu, isu pusat perjudian yang beroperasi secara berleluasa dan gagal dibendung oleh pihak berkuasa pernah dibangkit serta didedahkan oleh NGO-NGO dan rakyat marhaen.

“Ketika itu, situasi yang sama di mana pengadu diancam serta masalah integriti sebagaimana yang berlaku pada hari ini telah berlaku.

“Kita harap bermula tahun 2020 ini, dengan teknologi yang semakin canggih, kuasa tular media sosial dan masyarakat yang semakin cakna dapat membuat impak yang besar ke atas pusat-pusat perjudian yang sudah lama bermaharajalela,” katanya, hari ini.

Sebelum ini, tular satu video yang disiarkan secara langsung menerusi laman sosial Facebook Hot Burger Malaysia serta dikongsi akaun Asri Janggut mendakwa, pihak berkuasa tidak mengambil tindakan terhadap kes judi serta mendedahkan lokasi perjudian di Bandar Baru Sungai Buloh.

Lelaki dikenali sebagai Mohd Asri Hamid mendakwa demikian selepas tidak berpuas hati beberapa gerai yang menjual burger pada waktu malam disita oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), sedangkan beberapa kedai haram milik warga asing dan kedai perjudian dibiarkan beroperasi tanpa tindakan.

Bagaimanapun, polis menafikan dakwaan berkenaan dan menjelaskan telah melakukan 40 serbuan dan 132 tangkapan bagi kes perjudian di sekitar kawasan itu sehingga Julai tahun ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close