Berita Utama

Syarikat pemborong berlesen disyaki seleweng minyak masak bersubsidi

Serbuan menemukan 8,500 kilogram minyak subsidi paket 1kg

PUTRAJAYA, 8 Jamadilawal 1443H, Isnin – Sebuah syarikat pemborong barang kawalan berlesen di Rawang, Selangor, dikesan melakukan aktiviti penyelewengan minyak masak bersubsidi susulan penemuan 8,500 kilogram (kg) minyak subsidi paket 1kg dalam serbuan di premisnya pada Rabu lepas (8 Disember).

Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Azman Adam berkata syarikat tersebut disyaki mengaburi pihak berkuasa dengan menggunakan premisnya sebagai tempat melakukan aktiviti penyelewengan minyak masak bersubsidi paket 1kg yang dipindahkan ke dalam bekas minyak masak industri sebelum dipasarkan.

Beliau berkata, serbuan pada 2 petang itu menemukan dua unit tangki berkapasiti 250 tan metrik yang bersambung berisi keseluruhan 19,120kg minyak masak, sisa plastik minyak masak bersubsidi paket 1kg yang telah digunting, peralatan untuk pemindahan minyak masak bersubsidi ke dalam tangki industri, dengan nilai sitaan kira-kira RM203,750.

Azman dalam kenyataan hari ini berkata siasatan awal mendapati kegiatan itu telah berlangsung hampir sembilan bulan, iaitu sejak syarikat tersebut mendapat lesen borong pada Mac lepas dengan mendapatkan bekalan minyak masak bersubsidi paket 1kg daripada pemborong berlesen.

“Minyak tersebut seterusnya dileraikan menggunakan mesin dan dikumpulkan di dalam dua unit tangki berkapasiti 250 tan metrik untuk dipasarkan sebagai minyak masak industri,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan minyak masak dalam keadaan menimbulkan syak munasabah untuk melakukan kesalahan di bawah 13 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Azman berkata seorang pengarah syarikat berumur 20 tahun yang berada di dalam premis ketika serbuan ditahan bagi membantu siasatan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button