Berita Utama

Pemuda ISMA anjur Malam Munajat Anak Muda sempena malam Tahun Baharu

Alu-alukan kehadiran anak muda yang mahu menyumbang untuk dakwah

SHAH ALAM, 17 Jamadilawal 1442H, Jumaat – Sempena ambang Tahun Baharu semalam, Pemuda ISMA menganjurkan Malam Munajat Anak Muda bagi menarik masyarakat untuk kembali kepada Allah setelah dunia melalui tahun 2020 penuh dengan ujian.

Malam Munajat Anak Muda diadakan secara langsung dari Shah Alam secara atas talian melalui Facebook.

Ahli Pemuda ISMA di seluruh negara juga berkumpul di pejabat ISMA cawangan masing-masing dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Dalam program yang berlangsung, majlis dimulakan dengan tilawah al-Quran oleh Hafiz Shazelan yang mengalunkan surah Al-Kahfi, ayat 1-10.

Majlis diteruskan lagi dengan zikir munajat dan pidato muhasabah oleh al-fadhil Ustaz Fahmi Bazelan.

Seterusnya sesi taujihat oleh Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim yang bertajuk ‘Bila Larut Malam’ dilihat mengesani sidang penonton yang terdiri dari anak muda seluruh Malaysia.

Majlis kemudiannya diakhiri dengan doa penutup oleh tuan mudir Tarbiah Muda ISMA, Dr Isa Mohd Hassan al-hafiz.

“Kita ucapkan selamat datang 2021. InsyaAllah tahun ini kita akan terus menjadi hamba Allah yang taat. Mengambil posisi yang diamanahkan kepada kita sebagai khalifahNya. Mentadbir alam dengan panduanNya.

“Kita akan bangkit, dan melangkah lebih laju. Semoga semuanya bermuara dengan reda dan syurgaNya. Amin,” demikian kata Ketua Pemuda ISMA, Mohd Sahrularifin Ab Manan dalam perutusan sempena Tahun Baharu.

Tarbiah Muda ISMA merupakan inisiatif yang digerakkan oleh Pemuda ISMA.

Antara program lain yang berlangsung sepanjang masa ialah Geng Ngaji dan Usrah Muda ISMA.

Pemuda ISMA mengalu-alukan kehadiran anak muda yang ingin memperbaiki diri dan menyumbang untuk dakwah kepada golongan muda dan masyarakat.

Bagi mereka yang berminat boleh layari laman Facebook Pemuda ISMA atau ikuti perkembangan melalui laman sesawang di www.pemudaisma.com

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button