Berita Utama

3 polis termasuk ketua balai direman kes suapan RM6,000

Rasuah bagi elak saman ke atas pemilik perniagaan langgar PKP

MELAKA, 22 Zulhijjah 1441H, Rabu  – Tiga anggota polis termasuk seorang ketua balai direman empat hari bagi membantu siasatan berhubung kes suapan bernilai RM6,000 sebagai bayaran untuk mengelakkan tindakan saman ketika operasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tempoh reman sehingga Sabtu ini terhadap suspek berumur 26, 27 dan 57 yang bertugas di balai polis di daerah Melaka Tengah itu dikeluarkan oleh Majistret Lee Kim Keat di Kompleks Mahkamah Melaka, Ayer Keroh di sini, hari ini, selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Perintah reman itu dikeluarkan bagi membolehkan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000, mana lebih tinggi.

Ketiga-tiga suspek iaitu seorang sub inspektor dan dua lagi konstabel terbabit ditahan dalam satu serbuan di Balai Polis Tengkera kira-kira 6 petang semalam dan wang tunai berkenaan ditemukan di pejabat seorang daripada suspek.

Terdahulu, dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, sumber SPRM berkata, rasuah itu dipercayai bagi mengelakkan tindakan saman ke atas seorang pemilik perniagaan yang melanggar PKP. -Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button