Berita Utama

400 PATI Filipina dihantar balik negara asal

Mereka jalani saringan COVID-19 sebelum dihantar melalui jalan laut

SANDAKAN, 22 Zulhijjah 1441H, Rabu – Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah menghantar 400 pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Filipina ke tanah air mereka melalui Pelabuhan Sandakan, hari ini.

Pengarahnya, Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata, jumlah PATI yang diusir adalah seramai 5,645 orang sehingga proses yang diadakan pada siri ke-23 tahun ini.

“Semua PATI berkenaan dihantar ke negara asal mereka melalui jalan laut terus ke Zamboanga di Filipina.

“Semua PATI menjalani ujian saringan COVID-19 bagi memastikan mereka dalam keadaan sihat sebelum dihantar pulang untuk melalui perjalanan berkenaan,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Pada masa sama, Sh Sitti Saleha berkata, pihaknya turut merakamkan penghargaan terima kasih kepada kerajaan Filipina kerana memberi kerjasama dalam memastikan urusan pengusiran itu berjalan lancar.

“Pihak kami terus komited melaksanakan pengusiran PATI dan semua aktiviti berkaitan penguatkuasaan terhadap PATI walaupun ketika wabak COVID-19 masih belum berakhir.

“Diharapkan semua pihak memberi kerjasama dan sokongan terhadap usaha ini.

“Agensi penguatkuasaan sangat menghargai sebarang maklumat dan bantuan diberikan penduduk tempatan dalam menjejaki dan menangkap PATI yang menyusup masuk ke negara kita,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan pencerobohan PATI dinasihatkan segera menghubungi National Task Force di talian 011-62511223.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button