Berita Utama

Akhirnya! MBSA bertindak sita premis judi haram di Sungai Buloh

Rampas perabot, selain potong bekalan elektrik serta air premis

KUALA LUMPUR, 22 Zulhijjah 1441H, Rabu – Selepas beberapa hari menanti, akhirnya pihak berkuasa mula mengambil tindakan terhadap pusat judi haram yang bersarang di Bandar Baru Sungai Buloh, di sini hari ini.

Media tempatan melaporkan, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bersama agensi seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Air Selangor menjalankan operasi bersepadu menyita premis dipercayai dijadikan pusat judi dalam talian.

Di samping itu, sepanjang operasi bermula jam 10 pagi itu, petugas MBSA turut merampas semua perabot dan memotong bekalan elektrik serta air.

Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Mohd Rashidi Roslan, berkata tindakan sita terhadap premis berkenaan dibuat selepas didapati menjalankan perniagaan tanpa kebenaran.

“Operasi pada hari ini juga dijalankan terhadap premis perniagaan serta gerai-gerai atas kesalahan sama termasuk gerai tanpa lesen yang beroperasi di bahu jalan sehingga mengakibatkan kesesakan lalu lintas,” katanya pada sidang media di lokasi, hari ini.

Mohd Rashidi berkata, sepanjang tahun ini sehingga awal Julai lalu sebanyak 44 premis perniagaan tanpa lesen oleh peniaga tempatan dan warga asing di sekitar Bandar Baru Sungai Buloh.

“Tindakan sita diambil mengikut Undang-undang Kecil Penjaja MBSA 2007 Peruntukan 19 (meninggalkan barangan perniagaan di tempat awam) dan Peruntukan 3 (menjaja tanpa lesen) serta Peruntukan 42 (kuasa sitaan).

“Semalam, sebanyak 101 notis dikeluarkan ke atas premis-premis di sekitar Bandar Baru Sungai Buloh mengikut Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133),” katanya lagi.

Dalam operasi hari ini juga, MBSA turut merobohkan struktur tambahan pada premis perniagaan yang dibuat tanpa kelulusan MBSA seperti struktur dinding, lantai, kaki jalan serta sengkuap.

Seramai 230 petugas MBSA, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysiq (SPRM), TNB dan Air Selangor turut serta dalam operasi bersepadu itu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button