Berita Utama

‘Berwakaflah untuk jana ekonomi umat Islam’

Tanpa kuasa ekonomi, kuasa politik orang Islam jadi lemah

BANGI, 22 Zulhijjah 1441H, Rabu – Selain pembinaan pusat tahfiz, umat Islam digalakkan juga untuk berwakaf bagi menjana ekonomi umat Islam, demikian kata Naib Presiden Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Ustaz Mohd Hazizi Ab Rahman. 

Beliau berkata, keperluan umat Islam pelbagai termasuk pembangunan ekonomi, justeru berwakaflah menurut urutan maslahah yang lebih penting.

Katanya, orang Islam bukan sahaja memerlukan pusat hafiz, tetapi juga perlu penguasaan dalam sektor ekonomi.

“Kita ada banyak tanah wakaf yang tidak dimajukan. Tapi bila tanya pihak berkuasa berkenaan di mana lokasi-lokasinya, pegawai jawab ‘rahsia’. Aduh, macam mana nak majukan kalau rahsia?,” soalnya.

Beliau berkata, kecenderungan orang Melayu Islam adalah mahu mewakafkan tanah untuk membina sekolah tahfiz, walaupun di lokasi yang tidak sesuai seperti di pinggir hutan kelapa sawit. 

“Walhal kita sudah ada terlalu banyak sekolah tahfiz. Tahfiz sudah banyak, jadi berwakaflah untuk menjana ekonomi umat Islam,” katanya dalam ciapan di laman Twitter.

Beliau menegaskan, tanpa kuasa ekonomi, kuasa politik orang Islam pun akan menjadi lemah. 

Bahkan, tanpa kuasa ekonomi juga, umat Islam akan dengan mudahnya dihina oleh kaum lain, kata Ustaz Mohd Hazizi. 

Pada masa sama beliau mengingatkan supaya wakaf harta bukan atas tanah nama sendiri – daftarkan atas nama pemegang amanah, agar harta tak boleh dituntut sebagai pusaka oleh anak-anak selepas mati. 

“Tak boleh dijual beli, dihibah dan diwasiatkan.

“Atau serahkan kepada Majlis Agama, sebagai tanah wakaf. Jangan timbul masalah di kemudian hari. Mati menjemput kita bila-bila masa,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close