Berita Utama

Generasi muda perlu hayati prinsip kesetiaan kepada raja, negara

Rukun Negara dengan lima prinsip punyai jiwa harus difahami

KUALA LUMPUR, 22 Zulhijjah 1441H, Rabu – Generasi muda perlu mendukung dan menghayati prinsip Rukun Negara yang kedua iaitu Kesetiaan kepada Raja dan Negara bagi memastikan pemahaman terhadap falsafah itu diterapkan secara menyeluruh sekali gus membantu menjadikan Malaysia sebuah negara berdaulat.

Datuk Paduka Maharaja Lela Istana Negara Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini berkata generasi itu juga perlu menyemai semangat cintakan negara serta menghormati institusi diraja lebih-lebih lagi golongan muda bakal menjadi pemangkin kesejahteraan negara pada masa akan datang.

“Kita harus jelas bahawa Rukun Negara dengan lima prinsip bukanlah hanya teks bersifat layu dan lesu, malah ia sebenarnya teks yang mempunyai jiwa dan roh yang harus difahami dan dihayati seluruh masyarakat terutama orang muda.

“Anak muda bakal dan ada telah jadi pemimpin negara, kita harus tahu sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen ini merupakan paksi kepada negara… negara akan terus gemilang jika kita terus mempertahankannya,” kata beliau ketika menjadi tetamu program Darah Muda terbitan Bernama TV, malam ini.

Sementara itu, ditanya mengenai hubungan antara rakyat dan kerabat diraja dalam media sosial Istana Negara, beliau berkata golongan muda antara pengikut paling ramai, melebihi 50 peratus dan ia jelas menunjukkan sokongan mereka kepada institusi diraja.

“Saya rasa bagi meningkatkan semangat cintakan kepada institusi diraja, perlu banyakkan tontonan mengenai aktiviti Raja.

“Misalnya institusi diraja buat lawatan ke rumah orang susah dan beri bantuan kepada rakyat, supaya kita dapat lihat Raja bukan hanya bersemayam di istana, tetapi turut turun padang mendengar sendiri rintihan rakyat,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button