Berita Utama

Isu judi haram: Pihak berkuasa perlu ambil serius aduan masyarakat

Siasat terperinci jika ada bukti terkait kelemahan penguatkuasaan

KUALA LUMPUR, 22 Zulhijjah 1441H, Rabu – Kemajuan teknologi antara faktor utama kegiatan perjudian haram lebih mudah diakses khususnya melalui telefon pintar.

Apabila ada permintaan, maka banyak pihak mewujudkan pasaran (judi haram) sehingga mengakibatkan ketagihan dalam kalangan kaki judi, lebih-lebih lagi dengan ganjaran yang diperoleh hasil perjudian.

Pensyarah Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia (Bidang Pengkajian Sistem Keadilan Jenayah), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Nazirah Hassan berkata, tindakan itu sekali gus memberi peluang kepada sindiket judi haram untuk mewujudkan pusat-pusat judi kerana adanya permintaan yang tinggi dan keuntungan yang diperoleh amat lumayan sehingga berani membelakangkan undang-undang.

“Di mana sahaja ada ruang dan peluang untuk mereka berjudi, mereka yang ketagih dengan kegiatan itu akan turut serta, malah kegiatan itu memberikan mereka keseronokan seperti hiburan dan interaksi sosial,” katanya.

Menulis di Berita Harian hari ini, Dr Nazirah berkata, isu judi haram sama seperti masalah sosial lain dan sekiranya penguatkuasaan tidak dilaksanakan secara menyeluruh, kegiatan itu akan semakin berleluasa dan usaha pembanterasan akan menjadi lebih sukar.

“Tidak dinafikan dalam isu judi haram, ia kerap terkait dengan kelemahan penguatkuasaan undang-undang. Isu-isu ketelusan dan integriti sering dipersoal bukan sahaja di Malaysia, malah di seluruh dunia, justeru pihak berkuasa perlu lebih tegas dalam menjalankan tugas.

“Justeru, pemantauan perlu dijalankan secara menyeluruh dan ia membabitkan semua pihak. Sekiranya ada kerjasama daripada pelbagai pihak termasuk kerjasama daripada masyarakat, maka isu integriti dan ketelusan kurang dipersoal.

“Pihak berkuasa harus mengambil serius aduan daripada masyarakat, sekiranya ada rakaman video atau bukti yang terkait dengan kelemahan penguatkuasaan, mereka tidak perlu ‘melompat’, sebaliknya menyiasat perkara itu dengan terperinci,” katanya.

Bagaimanapun, kita perlu yakin pihak berkuasa sudah menjalankan tanggung jawab mereka dengan sehabis baik dan sudah sampai masanya masyarakat meletakkan kepercayaan dan memberi kerjasama kepada mereka secara proaktif.

“Ini bukan sahaja dengan melaporkan kegiatan haram seperti judi haram dan jenayah lain tetapi termasuk melaporkan isu integriti membabitkan anggota pihak berkuasa yang tidak bertanggung jawab,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close