Lima restoran di Kepala Batas tidak patuh SOP diarah tutup: Polis
Tidak hadkan jumlah pengunjung hingga tiada penjarakan fizikal
KEPALA BATAS, 22 Zulhijjah 1441H, Rabu – Lima restoran termasuk dua daripadanya cukup terkenal di Kepala Batas diarahkan tutup kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), dalam pemeriksaan yang dijalankan oleh pihak berkuasa semalam dan hari ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Noorzainy Mohd Noor berkata, lima restoran termasuk restoran menjual ikan bakar terkenal itu diarahkan tutup selama tujuh hari, selepas pemeriksaan premisnya mendapati ia gagal memastikan pelanggan mematuhi SOP dari segi penjarakan fizikal, terlalu ramai, dan tidak mencatat suhu badan pelanggan.
“Operasi bersepadu dua hari itu dijalankan pihak polis bersama Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Bandaraya Seberang Perai, dan hasil pemeriksaan kami mengambil tindakan terhadap lima premis kerana tidak mematuhi SOP dalam membendung penularan COVID-19.
“Malah ada restoran yang tidak menghadkan jumlah pengunjung makan di premis mereka sehingga tiada penjarakan fizikal antara satu sama lain,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Katanya, selain diarahkan tutup selama tujuh hari, semua pemilik lima restoran itu dikenakan kompaun RM1,000 setiap seorang dan pihaknya akan meneruskan operasi bagi memastikan semua pihak mematuhi SOP ditetapkan. -Bernama