Berita Utama

‘Masalah sukar dihapus bila bahasa Melayu dibunuh orang sendiri’

Tali barut atau komprador Melayu tunjuk kuasa guna bahasa Inggeris

BANGI, 22 Zulhijjah 1441H, Rabu – Sejak pengisytiharan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957, pancang kenegaraan tidak pernah berdiri aman tanpa gugatan.

Malah, goncangan terhadap pancang itu semakin kuat apabila ‘kebebasan bersuara’ – antara elemen hak asasi manusia, dijadikan landasan perlawanan oleh golongan buta sejarah yang tidak mahu menerima hakikat sejarah pembentukan negara.

Walaupun kita akan menyambut kemerdekaan pada penghujung Ogos ini, tetapi pergelutan budaya masih terus berpencak dan tidak memperlihatkan tanda berakhir, kata Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) Dr Mohamad Saleeh Rahamad.

Tanpa henti, pelbagai bentuk goncangan menggegarkan keabsahan Perlembagaaan, terutama berkait kedudukan Raja-Raja Melayu, bahasa Melayu dan Islam, katanya menulis di Berita Harian hari ini.

Mengambil contoh bidang pendidikan, beliau berkata, pejuang bahasa tidak berhenti berlawan dengan pencemar kedaulatan bahasa Melayu, yang mana satu demi satu usaha dilakukan pendukung bahasa Inggeris untuk mengesampingkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

“Misalnya, Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dibatalkan, tetapi Program Dwibahasa (DLP) terus berjalan. Baru-baru ini, Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk Dr Mah Hang Soon, menegaskan Kementerian Pendidikan akan meneruskan DLP di sekolah yang bersetuju melaksanakannya.

“Ini sebenarnya usaha membenamkan status bahasa Melayu sebagai aset budaya bernilai politik dan ekonomi. Dengan pelaksanaan DLP akan wujud pemecahan darjat antara dua jenis sistem. Bahasa Melayu dan penggunanya akan terpinggir, manakala masyarakat berbahasa Inggeris diagungkan.

“Banyak ketempangan dalam pelaksanaan DLP tidak didedahkan bagi memelihara kewujudannya. Bangkangan berhujah daripada pelbagai pihak pun tidak dipedulikan lagi. Akhirnya bahasa Melayu dalam sistem pendidikan akan tergusur ke jurang dan lenyap ditindih sejarah,” katanya.

Manakala, dalam agensi kerajaan katanya, berlaku juga penyusupan ‘keagungan kulit putih’ dengan menggunakan bahasa Inggeris dalam surat dan mesyuarat, walaupun ada surat pekeliling daripada Ketua Setiausaha Negara mewajibkan penggunaan bahasa Melayu.

“Sedangkan tali barut atau komprador dalam kalangan orang Melayu sendiri tidak segan silu menunjukkan kuasa mereka untuk menggunakan bahasa Inggeris.

“Inilah masalah yang sukar dihapuskan apabila bahasa Melayu dibunuh orang sendiri,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close