Berita Utama

Tun M beri bayangan nama parti baharu PEJUANG

Parti baharu ditubuh kerana kesedaran...rasuah hancur orang Melayu

BANGI, 22 Zulhijjah 1441H, Rabu – Selepas lima hari mengumumkan penubuhan parti baharu, Tun Dr Mahathir Mohamad petang ini memberi bayangan nama parti berkenaan sebagai PEJUANG.

Menerusi catatan di blognya bertajuk Parti baharu – Pejuang, Dr Mahathir berkata, parti baharu ditubuh atas kesedaran bahawa rasuah menghancurkan bangsa dan orang Melayu.

Katanya, jika ingin mendapatkan jawatan dan wang, pilih parti lain.

“Jika ingin tebus maruah. Jika ingin kekal hak kita. Pilih parti kami. Pilih PEJUANG,” katanya.

Terdahulu, Dr Mahthir berkata, parti baharu ditubuhkan atas semangat Melayu dan akan bersifat inklusif dan moderat, berpegang pada janji, ikhlas serta berprinsip.

Katanya, parti baharu akan mendukung dasar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) seperti mana di awal penubuhannya dulu.

Mei lalu, Dr Mahathir bersama empat lagi digugurkan keahlian mereka daripada BERSATU.

Mereka yang lain ialah Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Dr Maszlee Malik serta Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Ir Amiruddin Hamzah.

Keahlian kelima-lima mereka digugurkan atas alasan duduk di bangku pembangkang ketika persidangan pembukaan Dewan Rakyat pada 18 Mei lalu.

Kita tubuh parti untuk selamatkan kita.
Parti kita dihijack untuk selamatkan musuh kita.
Demikian Bersatu.
Ditubuh untuk hapuskan Kleptokrat.
Sekarang beralih untuk selamat Kleptokrat.
Kerana apa?
Kerana jawatan dan wang.
Perjuangan asal dibelakangkan.
Perjuangan sekarang berasas kepada “apa aku dapat”.
Jalan mudah. Terima sahaja apa yang ditawar.
Jika ada sesuatu yang boleh hancur Melayu.
Mengutama apa aku dapat adalah cara hancur orang Melayu.
Kenapa?
Kerana mengutama apa aku dapat, membelakangkan kepentingan Melayu.
Lihat peristiwa jual tanah.
Ya. Jual tanah dapat duit.
Duit habis, tanah sudah tergadai.
Apa yang tinggal pada penjual. Nothing.
Lihat Melayu negara jiran.
Melayu lagikah negara mereka?
Jual tanah sama dengan jual hak.
Lama-kelamaan jual negara.
Tidak ada hak lagi.
Maka hancurlah Melayu.
Siapa yang salah?
Orang lainkah?
Pilihlah.
Parti kami ditubuh kerana kesedaran.
Rasuah menghancur bangsa.
Rasuah yang hancur orang Melayu.
Jika ingin dapat jawatan dan wang.
Pilih parti lain.
Jika ingin tebus maruah.
Jika ingin kekal hak kita.
Pilih parti kami.
Pilih PEJUANG.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button