Berita UtamaIstimewa

UEC masuk PISMP: PN tak patut ulang kesilapan kerajaan terdahulu

Negara cukup tenaga pengajar terlatih bahasa Cina tanpa perlu UEC

BANGI, 22 Zulhijjah 1441H, Rabu – Keputusan kerajaan terdahulu – Barisan Nasional – pada 2011 yang menerima pemegang Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) untuk mengikuti Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) di Insitut Pendidikan Guru (IPG) adalah kesilapan besar dan tidak harus diteruskan Perikatan Nasional (PN).

Ini kerana, pengiktirafan kerajaan terhadap UEC adalah satu langkah menyempurnakan strategi pertubuhan radikal Cina, Dong Zong untuk memecah belahkan rakyat Malaysia.

Bahkan, boleh meruntuhkan perpaduan negara melalui sistem pendidikan vernakular selama ini, kata Naib Presiden BERJASA, Ustaz Mohd Hazizi Ab Rahman.

Beliau berkata, negara kita mempunyai aset yang mencukupi dan berupaya untuk mengeluarkan tenaga pengajar terlatih bahasa Cina, tanpa mengharapkan UEC.

“Langkah kerajaan untuk mengiktiraf sijil milik Dong Zong adalah tindakan dayus kerana tunduk pada pertubuhan rasis yang mempunyai sejarah penentangan yang begitu lama terhadap aspirasi Dasar Pendidikan Kebangsaan.

“Kewibawaan Dasar Pendidikan Kebangsaan telah diperlekehkan menerusi langkah politik BN pada 2011 dan diteruskan oleh PH dan PN, dengan pengiktirafan terhad UEC ini.

“Kita semua tahu, sikap memandang remeh terhadap Dasar Pendidikan Kebangsaan, akan memecah belahkan masyarakat dan lambat laun membawa negara ke arah kehancuran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Radzi Jidin bahawa UEC untuk PISMP sebenarnya sudah bermula sejak tahun 2011, malah diteruskan ketika era pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Program yang disebut Yang Berhormat Simpang Renggam (Dr Maszlee Malik) sudah bermula sejak tahun 2011 dan pada waktu Yang Berhormat menjadi menteri (Pendidikan) juga, program terbabit terus dilaksanakan.

“Jadi, sebenarnya perkara ini memang dalam pengetahuan Yang Berhormat. Hakikatnya dasar itu berlaku, pengambilan pelajar kelulusan UEC untuk tujuan kemasukan ke IPG bagi mata pelajaran Bahasa Cina untuk SJKC,” katanya.

Walaupun sudah dilaksana sejak 2011, Ustaz Hazizi menegaskan kepimpinan PN tidak perlu meneruskan program berkenaan.

Katanya, bahasa ibunda dan budaya etnik seharusnya diajar dalam kerangka sistem pendidikan satu aliran tersebut, tanpa perlu adanya sekolah vernakular, apatah lagi UEC

“Kita mendukung cita-cita untuk menyatupadukan anak watan Malaysia menerusi sistem pendidikan satu aliran di peringkat kebangsaan, berpaksikan aspirasi Perlembagaan Persekutuan sebagai tiang seri perpaduan negara.

“Tiada sebarang kompromi politik yang boleh memadamkan cita-cita dan agenda nasional yang Berjasa dukung dan perjuangkan ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button