Berita Utama

Jangan biarkan penguat kuasa korup jadi pelindung tauke judi

Perisik khas patut dihantar pantau pusat judi, maksiat secara rapi

BANGI, 23 Zulhijjah 1441H, Khamis – Anggota penguat kuasa yang terbabit salah guna kuasa serta rasuah tidak boleh dibiarkan menjadi pelindung kepada perosak masyarakat seperti tauke-tauke pusat judi dan maksiat

Justeru, pantauan terhadap integriti penguat kuasa perlu dilaksanakan bukan sahaja di peringkat bawahan, malah turut membabitkan pihak atasan. 

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya berkata, sekiranya pembasmian tidak berlaku secara menyeluruh, gejala maksiat yang merosakkan masyarakat akan terus bermaharajalela. 

Katanya, ejen dan perisik khas sepatutnya dihantar untuk memantau pusat judi dan maksiat secara rapi. 

“Jika kami pimpinan NGO-NGO yang membuat amar makruf nahi mungkar ini pun pihak berkuasa boleh hantar ejen dan perisik untuk memantau, mengapakah tidak untuk merisik pusat-pusat maksiat?

“Kita juga menggesa agar pihak berkuasa tidak lagi memberikan apa-apa lesen baharu kepada mana-mana pusat perjudian.

“Mana yang tiada lesen, sepatutnya operasi rampasan dan sitaan lebih kasar dan lebih giat berbanding operasi terhadap peniaga-peniaga kecil yang menjual makanan seperti burger di tepi jalan,” katanya.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan empat anggota penguat kuasa Majlis Bandaraua Shah Alam (MBSA) kerana disyaki menerima rasuah bagi melindungi premis perniagaan yang menjalankan kegiatan perniagaan tanpa lesen di Sungai Buloh.

Penahanan empat individu terbabit susulan pendedahan yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Hot Burger Malaysia serta dikongsi akaun Mohd Asri Hamid, 42, atau dikenali sebagai Asri Janggut, yang mendakwa pihak berkuasa tidak mengambil tindakan terhadap kes judi, serta mendedahkan lokasi perjudian di Bandar Baru Sungai Buloh. 

“Alhamdulillah, usaha dan tindakan berani oleh Encik Asri dan rakyat tidak sia-sia akhirnya. 

“Terkini, tertangkap sudah mereka yang disyaki bersubahat dan salah guna kuasa dari kalangan pihak penguasa. 

“Kita mengucapkan tahniah dan syabas kepada pihak SPRM dan PDRM serta mengharapkan agar usaha-usaha menangkap penguat kuasa yang korup dapat diteruskan di semua jabatan dan malah semua agensi kerajaan,” kata Haji Aminuddin. 

Selain itu, beliau berkata, NGO-NGO Islam juga sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa, dan mencadangkan satu jawatankuasa bertindak dibentuk sebagaimana Kementerian Wilayah Persekutuan pernah membentuk pasukan bersepadu Operasi Banteras Aktiviti Haram (Ops BAH) yang dimansuhkan kerana isu politik. 

“Kepada rakyat marhaen semua, kita meminta agar semua terus cakna, memantau dan secara proaktifnya menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa termasuk pihak Kementerian Dalam Negeri.

“Kita tidak boleh harapkan polis atau PBT sahaja, kerana kitalah yang sepatutnya menjadi mata-mata dan membantu mereka dan mereka perlu berbesar hati menerima perkara ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button