Berita Utama

21,241 pendatang asing telah diusir ke negara asal

Sementara 15,957 lagi masih berada dalam depot tahanan imigresen

PUTRAJAYA, 23 Zulhijjah 1441H, Khamis – Seramai 21,241 pendatang asing telah diusir ke negara asal masing-masing sejak awal tahun ini hingga 10 Ogos lepas, manakala 15,957 orang lagi masih dalam depot tahanan imigresen.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata ketika ini kerajaan menghadapi kesukaran melaksanakan pengusiran terutamanya untuk mendapatkan persetujuan negara asal selain memastikan mereka bebas daripada COVID-19 sebelum dihantar pulang.

“Kita perlu memastikan negara sebelah sana sudah bersedia, kita tak boleh hantar begitu sahaja dan kita bekerjasama dengan kedutaan mereka di sini, dokumentasi semua ada, barulah kita hantar pulang,” katanya kepada pemberita selepas majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Imigresen, di sini hari ini.

Daripada 21,241 pendatang asing yang telah dihantar pulang, 9,276 adalah dari Indonesia, Bangladesh (2,643), Myanmar (1,891), Thailand (1,715), India (1,412), China (1,343), Pakistan (991), Vietnam (646), Nepal (314), Kemboja (271) dan lain-lain negara (739), katanya.

Beliau berkata baki yang masih dalam depot tahanan adalah termasuk pendatang asing yang dipindahkan dari penjara. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button