Pendapat

Pemimpin jangan cepat melatah bila bercanggah pandangan

Insafi pertelingkahan, utuhkan permuafakatan demi agenda bersama

KITA perlu insafi perpecahan orang Melayu di Terengganu pernah melalui suatu fasa yang merugikan dan menyedihkan. Gagal menangani perbezaan pendirian politik dengan baik telah menghakis kesepakatan masyarakat sehinggakan pernah berlaku solat dua imam serentak di masjid yang sama. Itu perkara yang telah lepas, namum sejarah pahit ini perlu kita sama-sama ambil pengajaran

2. Permuafakatan dua parti politik terbesar orang Melayu telah merintis jalan ke masa depan yang lebih baik buat kesatuan umat di negeri Terengganu. Banyak perkara yang kita boleh sepakat walaupun berada dalam parti politik yang berbeza. Sepakat jugalah pintu keberkatan Allah untuk memakmurkan lagi bumi Terengganu yang bertuah ini.

3. Perbahasan dan berbalas hujah di Dewan Undangan Negeri adalah norma biasa yang sihat di kalangan wakil rakyat yang dilantik. Berbeza pandangan sememangnya tidak dapat dielakkan. Perbezaan ini perlu diurus dan ditangani secara bijak dan hikmah. Ini merujuk kepada isu pertelingkahan beberapa YB wakil rakyat PAS dan Barisan Nasional di DUN Terengganu berkenaan agihan dana bantuan COVID-19 dari kerajaan Pusat.

4. Sebagai pemimpin dan wakil rakyat, mereka tidak sepatutnya terlalu melatah apabila berlakunya khilaf atau bercanggah pandangan sehingga mencetuskan persepsi yang kurang sihat di kalangan rakyat. Gunalah medium perundingan yang bijaksana sebelum mengheret rakyat dalam perbalahan sesama mereka.

5. Cukup-cukuplah sengketa antara sesama saudara seakidah selama ini. Tidak cukupkah ia menjadi pengajaran bagi kita? Buanglah ego kita sama ada kita di barisan kerajaan atau pun tidak, sama ada kita ahli exco kerajaan negeri atau pun wakil rakyat biasa. Tuan-tuan Yang Berhormat dilantik untuk mewakili rakyat. Bersepakatlah untuk mendaulatkan agama dan memajukan ummah

6. Sebagai rakyat biasa, kami khuatir jika perselisihan tidak ditangani dengan baik, ia akan mencetuskan jurang yang menjejaskan kesepakatan kita. Lihatlah sebelum ini, kita telah berjaya sepakat dalam menentang ICERD, kita sepakat meyokong agenda Buy Muslim First (BMF) dan beberapa lagi agenda kepentingan bersama walau pun kita dari fahaman politik yang berbeza.

7. Ingatlah, musuh agama sentiasa memerhatikan kita. Mereka menanti kita bertelagah sesama sendiri supaya mudah mereka mengambil kesempatan di atas keruntuhan muafakat ini. Tiada yang lebih penting dan tinggi selain melihat agenda Islam dan kepentingan ummah terpelihara dan diletakkan di tempat yang sepatutnya. Jauhilah pepatah Melayu yang menyebut, ‘menang sorak kampung tergadai’ supaya kita tidak berbalah sehingga agenda Islam dan Melayu terpinggir.

Mohd Nasrul Muhaimin
Yang di-Pertua Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Cawangan Dungun

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close