Berita Utama

Judi: Polis tahan 5,590 individu, rampas RM1.04 juta setakat Julai

61 sindiket judi tumpas tahun ini berbanding hanya 32 tahun lalu

KUALA LUMPUR, 23 Zulhijjah 1441H, Khamis – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 5,590 individu dan merampas 9,817 peranti elektronik serta wang tunai yang dianggarkan bernilai RM1.04 juta berkaitan perjudian haram sejak awal Januari sehingga Julai tahun ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, semua tangkapan dan rampasan itu dilakukan dalam 3,015 serbuan di seluruh negara.

Beliau berkata, tahun lepas, seramai 10,303 individu ditahan dan pelbagai rampasan dibuat bernilai RM1.3 juta.

“Sebanyak 61 sindiket judi telah ditumpaskan tahun ini berbanding hanya 32 sindiket pada tahun lepas.

“Polis turut mengambil tindakan terhadap 372 individu di bawah Perintah Tahanan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 pada tahun lepas manakala 185 individu ditahan di bawah akta sama tahun ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Huzir berkata, pembanterasan judi haram ini akan diperkasakan dengan tindakan memotong bekalan elektrik ke atas premis perjudian yang diserbu.

“Pada tahun lepas sebanyak 461 premis telah dipotong bekalan elektrik manakala sebanyak 518 premis terlibat sehingga Julai 2020, selaras dengan peruntukan Seksyen 21A, Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya.

Beliau berkata, PDRM juga bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk membatalkan lesen perniagaan premis yang menjalankan kegiatan judi haram di seluruh negara.

“Tahun lepas, dua lesen perniagaan dibatalkan PBT manakala pada tahun ini sebanyak empat lesen dibatalkan,” katanya yang turut mencadangkan agar PBT menyita premis perjudian haram mengikut peruntukan undang-undang. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button