Berita Utama

Kluster baharu di Kedah

10 positif dengan kes pertama kluster adalah kes ke-9,113

PUTRAJAYA, 23 Zulhijjah 1441H, Khamis – Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan satu lagi kluster baharu berkaitan wabak COVID-19 iaitu Kluster Tawar di Kedah, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Memperincikan Kluster Tawar, beliau berkata, kluster itu melibatkan 10 kes positif dengan kes pertama kluster itu adalah kes ke-9,113 yang dikesan positif Selasa (11 Ogos) lalu manakala sembilan kes lagi dilaporkan positif hari ini.

“Kes pertama kluster ini adalah lelaki warganegara Malaysia yang merupakan seorang peniaga. Beliau mempunyai sejarah menghadiri upacara keagamaan memperingati kematian ahli keluarga yang telah berlangsung dari 31 Julai hingga 1 Ogos yang dianggarkan telah dihadiri seramai 30 orang.

“Pada 8 Ogos, beliau mula mengalami sakit dada serta gejala demam dan telah segera mendapatkan rawatan di sebuah pusat perubatan. Saringan COVID-19 dijalankan pada 9 Ogos dan dikesan positif pada 11 Ogos,” katanya dalam sidang media harian perkembangan COVID-19 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa aktiviti pengesanan kes secara aktif telah dijalankan dan sehingga kini 86 kontak rapat kes pertama telah disaring termasuk sembilan positif, 21 negatif dan 56 yang masih menunggu keputusan ujian saringan.

“Kesemua kes baharu kluster ini adalah ahli keluarga beliau, iaitu tiga kes didapati mempunyai gejala. Sembilan daripada kes positif termasuk kes pertama mempunyai sejarah menghadiri upacara sembahyang kematian tersebut.

“Langkah pencegahan dan pembendungan jangkitan seperti proses nyah kuman dan nyah cemar telah dijalankan di lokasi yang dikenal pasti,” katanya yang menambah punca jangkitan masih dalam siasatan.

Mengulas mengenai berita tular kes bergejala seorang pelajar sebuah sekolah di Seri Pantai di kawasan Lembah Pantai, Dr Noor Hisham berkata ujian pengesahan COVID-19 telah diulang sebanyak dua kali dalam tempoh 24 jam dan didapati negatif.

Katanya, saringan kontak rapat telah dijalankan untuk 54 individu dan kesemua ujian pengesahan COVID-19 untuk 54 individu itu adalah negatif.

“Individu yang disaring itu melibatkan 42 di sekolah menengah kebangsaan, empat ahli keluarga, lima rakan keluarga dan tiga anggota kesihatan,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close