Berita Utama

Imej tahanan Palestin tular, Hamas gesa campur tangan organisasi antarabangsa

Gesa bantu pembebasan mereka dari tahanan rejim Zionis biadab

GAZA, 25 Jamadilawal 1445H, Sabtu – Gerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) menegaskan tentera pengganas Israel melakukan jenayah kejam terhadap orang awam yang tidak bersalah di Gaza.

Ini susulan imej tahanan Palestin yang ditahan dalam keadaan tidak berpakaian dan diikat tangan tersebar di media sosial.

Dalam video yang tular, tahanan dilucutkan baju dan duduk dengan kepala tertunduk di atas jalan Kota Gaza.

Pegawai kanan Hamas, Izzat El-Reshiq menggesa organisasi hak asasi manusia antarabangsa campur tangan untuk mendedahkan situasi terbabit dan membantu pembebasan mereka.

Terdahulu, Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) meluahkan kebimbangan dengan imej tular itu dan menegaskan bahawa semua tahanan mesti dilayan dengan kemanusiaan dan bermaruah mengikut undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Menteri Luar Iran, Hossein Amirabdollahian juga mengkritik Israel dan menyifatkan tindakan rejim sebagai biadab kerana melayan tahanan dan rakyat yang tidak bersalah.

Khamis lalu, TV Israel dalam laporan mendakwa penahanan pejuang Hamas di Gaza, dengan menyiarkan imej keadaan mereka tanpa pakaian dan hanya berseluar dalam.

Satu gambar menunjukkan lebih 20 tahanan lelaki berlutut di atas jalan, selain sebilangan besar tahanan dalam keadaan separuh bogel berhimpit di belakang sebuah trak.

Bagaimanapun, rakyat Palestin mengesahkan mereka yang ditahan tiada kaitan dengan Hamas atau mana-mana kumpulan lain, sebaliknya sekadar orang awam dan remaja lelaki. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button