Berita Utama

Parti baharu Tun M Pejuang atau ‘Pujawang?’

Pejuang sebenar sanggup mati mulia daripada hidup terhina

BANGI, 23 Zulhijjah 1441H, Khamis – Ahli Jawatankuasa Pusat Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ir Lukman Al Hakim menyifatkan, pejuang adalah golongan menegakkan hak yang dirampas.

Hak yang dimaksudkan adalah seperti kehidupan berkeluarga, amalan beragama, harta kekayaan, keamanan sosial, legitimasi memimpin dan banyak lagi, kata Lukman.

Selain itu, katanya, pejuang juga fitrahnya berkorban dan terkorban iaitu mengorbankan masa, tenaga, harta bahkan nyawa untuk mencapai matlamat perjuangan.

“Matlamat perjuangan mereka besar dan panjang. Lebih besar dari kemahuan seorang individu. Lebih panjang dari tempoh kehidupan peribadi di dunia

“Mereka berjuang bukan untuk diri sendiri, tapi untuk orang lain. Untuk agenda perdana,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Demi agenda ini, kata Lukman lagi, mereka – pejuang – sanggup mati berdiri daripada hidup melutut. 

“Mereka sanggup mati mulia daripada hidup terhina. Inilah definisi pejuang yang saya faham.

“Jika tidak menepati penerangan ini, itu bukan pejuang. Itu pujawang!,” sindir Lukman.

Lukman berkata demikian dipercayai ada kaitan dengan pengumuman Tun Dr Mahathir Mohamad berkenaan parti baharunya dikenali sebagai ‘Pejuang’.

Malam tadi, bekas Perdana Menteri itu memberitahu, nama penuh wadah politik itu sebagai Parti Pejuang Tanah Air.

Dr Mahathir berkata, parti itu akan dipimpin oleh anaknya, Datuk Seri Mukhriz sebagai Presiden dan beliau sebagai Pengerusi.

Menjelaskan tujuan parti itu, beliau berkata, parti itu ditubuhkan kerana kesedaran dan untuk membanteras rasuah yang menghancurkan bangsa.

Sementara itu, mengulas penubuhan parti baharu oleh pemimpin berusia 95 tahun itu, Naib Presiden ISMA, Prof Zainur Rashid Zainuddin sekali lagi menyarankan agar tokoh berkenaan berehat di usia senjanya.

“Masa pun tidak bersama kita. Saya mendoakan kebaikan buat Tun, rakyat dan negara dengan berehatnya Tun daripada politik negara,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close