Berita Utama

Fatwa diterima positif, teguhkan pegangan ummah

Institusi mufti perlu sensitif terhadap realiti persekitaran masyarakat, negara, dunia

SEPANG, 4 Safar 1442H, Selasa – Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari ini bertitah fatwa yang dikeluarkan mestilah diterima secara positif, berupaya meneguhkan pegangan ummah terhadap Islam dan tidak dianggap berunsur mengongkong serta menekan.

Baginda bertitah institusi mufti perlu memberi ruang masa perundingan yang cukup dan melakukan perundingan silang termasuk mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak berkepentingan ketika menangani isu baharu demi menjamin fakta dapat dianalisis secara mendalam, komprehensif dan teliti sebelum mengeluarkan fatwa.

“Mengambil ingatan bahawa semakin ramai ummah memiliki pendedahan pendidikan yang lebih terbuka, memiliki daya intelek tinggi, bersifat ingin tahu, berfikiran kritikal, melakukan kajian dan rujukan perbandingan dan tidak mudah memamah dan menerima sesuatu perkara sebelum diyakinkan.

“Kemajuan teknologi komunikasi telah mengubah peranan, sambutan dan penerimaan fatwa dalam masyarakat moden. Dalam era internet, telah muncul banyak laman sesawang mengandungi pelbagai fatwa, yang boleh dirujuk sebagai sumber alternatif dalam kalangan ummah untuk mendapatkan fatwa,” titah baginda ketika merasmikan Multaqa Jawatankuasa Fatwa Seluruh Malaysia di sini, hari ini.

Sultan Nazrin bertitah urusan fatwa tidak berakhir di peringkat mengeluarkan fatwa, sebaliknya mekanisme penghebahan dan penerangan perlu dilaksanakan melalui pelan komunikasi yang berkesan agar sesuatu fatwa dapat difahami, diterima, dihargai dan dihayati.

Titah Baginda, institusi mufti perlu sensitif terhadap realiti persekitaran masyarakat, negara dan dunia yang terdiri daripada pelbagai agama, kumpulan etnik, budaya dan ideologi politik, agar susun kata sesuatu fatwa tidak mengundang polemik dan kontroversi hingga berpotensi mencetuskan konflik, persengketaan dan persepsi negatif terhadap Islam.

“Tegas dengan tafsiran berlandaskan ajaran Islam serta teguh berkecuali daripada sebarang kecondongan politik kepartian dan sama sekali tidak bersubahat dengan sebarang usaha yang membolehkan matlamat menghalalkan cara, hatta jika diarahkan oleh mana-mana pihak yang berkuasa sekalipun,” titah baginda.

Memandang ke hadapan, Sultan Nazrin bertitah institusi mufti memerlukan perekayasaan (penerapan unsur-unsur ilmu dan budaya) kaedah dan pendekatan dalam menangani cabaran dunia semasa, demi menjamin institusi mufti kekal dihormati sebagai sumber rujukan agama yang berwibawa.

“Dalam konteks negara Malaysia, fatwa ialah suatu pandangan hukum Islam, bertujuan memberikan penjelasan dan pencerahan perkara-perkara berkenaan agama Islam, yang dikeluarkan oleh seseorang mufti bertauliah setelah mendapat perkenan Raja Pemerintah di negeri masing-masing.

“Fatwa berperanan penting menangani pengabsahan agama, pertikaian kepercayaan, kritikan politik atau pengerahan politik,” titah baginda.

Pada era ini, titah Baginda urusan mengeluarkan fatwa memerlukan kapasiti melakukan penyelidikan berdasarkan realiti semasa dalam persekitaran yang sudah jauh berbeza, agar fatwa yang dikeluarkan berupaya menangani cetusan idea, teknologi, tuntutan dan perkembangan terkini.

Ia antaranya merangkumi perbankan, kewangan dan insurans, transaksi jual beli dan urus niaga dalam talian, perusahaan dan perdagangan, pendidikan, perubatan, kecerdasan buatan, sains dan teknologi; khidmat sosial, jaringan media dan langit terbuka, pencemaran serta pemanasan global.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button