Tegakkan makruf, tegah mungkar mesej teguran Asri Janggut
Kontroversi diharap tak buat masyarakat takut tegur kemungkaran
BANGI, 23 Zulhijjah 1441H, Khamis – Meskipun dakwaan umum pengasas Hot Burger, Mohd Asri Hamid atau Asri Janggut yang menjadi kontroversi baru-baru ini kurang tepat, namun maksud di dalam kata-katanya iaitu ‘orang yang tak jaga solat akan melakukan perkara mungkar’ adalah satu hakikat yang betul dalam Islam.
Ketua Pegawai Eksekutif IRIS Institute (IRIS), Syed Ahmad Israa’ Syed Ibrahim berpendapat, semua yang bertanggungjawab memimpin agensi-agensi keselamatan negara perlu mengambil ‘mesej’ sebenar daripada kenyataan Asri Janggut itu, walaupun ungkapannya agak terlebih.
“Lebih baik ucapkan terima kasih atas keprihatinannya dan sokong mesejnya, serta maafkan sahaja gaya tegurannya.
“Betul, yang saya dengar, zaman sekarang ini kesedaran agama dalam agensi keselamatan sudah lebih baik berbanding zaman dulu. Alhamdulillah.
“Walau bagaimanapun saya boleh faham sebab Asri Janggut berkata begitu. Sampai hari ini kita masih dengar ada kes rasuah dan tidak amanah di kalangan pegawai agensi keselamatan (termasuklah imigresen dan sebagainya),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Syed Ahmad Israa’ berkata, masalah pecah amanah akarnya adalah masalah takwa kepada Allah SWT.
“Menjaga takwa semua anggota agensi keselamatan perlu jadi satu prioriti penting dan mekanisme praktikalnya adalah memastikan semua anggota menjaga solat dengan sempurna, di tempat bertugas dan di rumah (ketika tidak bertugas),” katanya.
Pada masa sama, beliau berharap agar apa yang berlaku terhadap Mohd Asri setelah mengeluarkan kata-kata demikian tidak menyebabkan masyarakat takut untuk menegur kemungkaran.
“Jangan sampai dalam negara kita ini, orang takut hendak mengingatkan perkara yang makruf dan mungkar kerana takut dikecam semula oleh masyarakat dan pimpinan.
“Kalau itu berlaku maknanya negara ini tak lama lagi akan hancur sebagaimana dulu berlaku kepada Bani Israil, apabila mereka sudah hilang budaya menegakkan yang makruf dan menegah yang mungkar,” katanya.
Kenyataan yang dikeluarkan Mohd Asri baru-baru ini telah mengundang kontroversi terutamanya dalam kalangan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Ini berikut kenyataan Mohd Asri dalam video yang tular di media sosial: “Kebanyakan yang masuk jadi polis, jadi tentera ini tidak jaga solat. Terlalu mudah, cair, cepat. Hisap rokok, tak jaga sembahyang.
“Cuba tanya anggota polis, Subuh sembahyang tak? Bila last bawa isteri sembahyang Subuh? Pernah tak tanya anak apa itu syahadah? Bermakna sebenarnya segala kuncinya,” katanya dalam satu forum anjuran Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).
Susulan itu, pihak polis membuka dua kertas siasatan terhadap beliau selepas menerima dua laporan berhubung kenyataannya yang dianggap menghina PDRM dan ATM.
Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Deputi Komisioner, Mior Faridalathrash Wahid ketika mengesahkan perkara itu berkata, siasatan dijalankan susulan laporan yang diterima pihaknya.
Mior Faridalathrash berkata, Mohd Asri akan dipanggil untuk diambil keterangannya dalam masa terdekat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) JSJ.