Dunia

Turki buka semula sekolah mulai 21 September

Tindakan segera jika ahli keluarga pelajar dijangkiti COVID-19

ANKARA, 23 Zulhijjah 1441H, Khamis – Turki akan membuka semula sesi persekolahan bermula 21 September ini, selepas ditutup sejak pertengahan Mac lalu bagi mengekang penularan pandemik COVID-19. 

Dalam satu sidang media, Menteri Pendidikan Turki, Ziya Selcuk memaklumkan, sesi persekolahan bermula secara berperingkat mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Beliau berkata, pihak sekolah juga diarahkan mengubah suai susun atur meja di setiap bilik darjah dengan mengamalkan penjarakan sosial, selain memastikan topeng muka dan cecair sanitasi disediakan. 

Katanya, tempoh sesi pembelajaran di dalam kelas masih tertakluk kepada kepatuhan ibu bapa dan pelajar dalam mematuhi SOP. 

Selcuk berkata, tindakan segera akan diambil sekiranya terdapat ahli keluarga terdekat pelajar yang dikesan dijangkiti COVID-19.

“Lebih 2,000 kakitangan yang bertanggungjawab telah diarah memantau SOP di sekolah menjelang pembukaan semula sesi seperti yang dirancang,” katanya. 

Penggal baharu persekolahan dijadualkan pada 31 Ogos menerusi sesi pembelajaran secara atas talian. Sementara, sekolah swasta memulakan penggal pada 17 Ogos.

Semua sekolah di seluruh Turki diarahkan tutup sejak pertengahan Mac bagi membendung penularan wabak COVID-19. 

Sehingga kini, Turki merekodkan 244,000 kes jangkitan COVID-19, dengan 5,891 kematian dan 227,000 kes pulih.- Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button