Zionis bertindak agresif, Hamas beri amaran krisis kemanusiaan makin parah
Israel tutup jalan Kerem Shalom ke Semenanjung Gaza
GAZA, 23 Zulhijjah 1441H, Khamis – Negara haram Israel selamanya tidak akan berpuas hati dengan Palestin – terbaharu rejimnya melancarkan serangan udara dan darat di Semenanjung Gaza pada dua hari berturut-turut.
Tentera Israel mendakwa serangan itu sebagai tindak balas terhadap pelancaran belon api dari kawasan yang dikendalikan Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) beberapa hari ini.
Media yang berpusat di Gaza mengatakan serangan itu menyerang kubu di seberang Semenanjung Gaza dari Rafah di bahagian selatan wilayah yang diduduki hingga Beit Hanoun di utara.
Rejim pengganas Israel turut mendakwa jet, helikopter dan kereta kebal menyerang sasaran ke atas Hamas termasuk infrastruktur bawah tanah dan pos pemerhatian.
Pada masa sama, negara tidak diiktiraf itu telah menutup jalan persimpangan penghantaran barang Kerem Shalom ke Semenanjung Gaza sebagai tindak balas terhadap pelancaran belon.
Hamas mengutuk tindakan Zinos dengan menyifatkannya sebagai tindakan agresif dan memberi amaran bahawa krisis kemanusiaan menjadi semakin parah di wilayah itu.

Layang-layang dan belon api antara cara protes baru oleh warga Gaza sejak Mac 2018, ketika rejim Tel Aviv memulakan tindakan keras terhadap demonstrasi anti-penjajahan.
Semenanjung Gaza telah berada di bawah sekatan rejim pengganas Israel sejak 2007 apabila Hamas menguasai wilayah berkenaan.
Sejak daripada itu, Hamas dan Israel bertempur dalam tiga perang, namun gencatan senjata telah dimeterai pada akhir tahun 2018 dan diperbaharui pada tahun lalu. – Agensi