Berita Utama

Bendera terbalik: Ini provokasi! Contohi ketegasan Polis Johor

Perbuatan disengajakan, pelaku cabar lambang kemegahan negara

BANGI, 24 Zulhijjah 1441H, Jumaat – Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dirayu, supaya segera mengarahkan kesemua Ketua Polis negeri mengambil tindakan terhadap pesalah yang mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik tanpa lagi perlu diberi amaran.

Hal demikian kerana perbuatan berkenaan semakin kerap berlaku di negara ini, dan ia boleh disifatkan sebagai satu tindakan yang disengajakan.

Presiden Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM), Hussin Awang Ngah yang berang dengan tindakan tidak bertanggungjawab itu mendesak, supaya pihak-pihak yang terbabit dikenakan hukuman setimpal dengan perbuatan biadab mereka.

“Saya bagi pihak persatuan bekas polis memohon jasa baik Ketua Polis Negara mulai sekarang mengarahkan semua Ketua Polis negeri tangkap mereka yang pasang bendera terbalik ini. Apa cerita pun, kita tangkap dahulu.

“Bukan apa, setiap tahun saya dengar ada sahaja cerita bendera terbalik. Ini macam satu benda yang disengajakan, kalau sekali itu kita boleh terima lagi, ini tiap-tiap minggu,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Hussin juga tidak menolak kemungkinan perbuatan tidak bermoral berkenaan dilakukan sebagai tanda protes terhadap sesuatu perkara yang berlaku di negara ini.

Baginya, sikap sedemikian tidak wajar dipamerkan dan rasa tidak puas hati perlu disalurkannya di dalam ruang lingkup yang betul.

“Dengar lagu Negaraku pun kita terpaksa berhenti berjalan untuk menghormatinya, itu baru lagu apatah lagi bendera. Bendera ini lambang kemegahan negara kita

“Bendera ini adalah identiti negara, contoh bila ada kematian (raja-raja atau sultan) bendera akan dikibar separuh tiang. Dari sini orang dah tahu ada peristiwa besar sedang berlaku di dalam negara,” katanya.

Semalam, tular kejadian bendera dikibar terbalik oleh sebuah restoran di Tawau, Sabah sebelum Ketua Polis Daerah memaklumkan, hasil siasatan mendapati tindakan adalah tidak disengajakan.

Sebelum itu, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay memberi amaran terakhir kepada pihak yang mempersenda Jalur Gemilang termasuk memasangnya secara terbalik, untuk bersiap sedia ditahan selepas ini.

Katanya, tindakan itu diambil kerana sudah terlalu kerap Jalur Gemilang dipasang secara terbalik dengan alasan tersilap.

Tindakan tegas berkenaan diambil susulan daripada berlakunya kes pemasangan bendera Malaysia secara terbalik di dua buah sekolah jenis kebangsaan (SJK) di Johor.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close