Berita Utama

Bendera terbalik: Mana tindakan tegas? Pesalah besar, kebal?

Ramai kecewa insiden umpama sudah jadi trend setiap kali merdeka

BANGI, 24 Zulhijjah 1441H, Jumaat – Bagaikan sudah menjadi satu trend insiden pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik berlaku pada setiap bulan kemerdekaan.

Apa yang menyakitkan alasan diberikan pihak terbabit melakukan perbuatan tidak bermoral sedemikian setelah tertangkap oleh orang awam pula memakai ‘skrip’ sama iaitu ‘tidak sengaja’.

Malah, kata Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya, kesalahan itu akan diletakkan pula pada ‘pekerja’ yang tidak diketahui. 

“Dan apabila rakyat marah, akhirnya muncullah mana-mana ahli politik sebagai hero, suruh rakyat bertenang dan memberi amaran supaya rakyat jangan main api perkauman. 

“Nampak mudah modus operandi ini, tetapi itulah yang cuba dibuat untuk memperbodohkan rakyat. Sekali, dua kali bolehlah rakyat termakan. 

“Tetapi jika sudah menjadi ‘trend’, maka yang cuba menipu itulah yang bodoh,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, sebuah restoran di Jalan Chong Thien Vun, Tawau, Sabah dilaporkan memasang Jalur Gemilang secara terbalik. 

Menurut Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas, berdasarkan hasil siasatan, didapati pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik itu adalah tidak disengajakan dan pihak restoran sudah mengambil tindakan serta merta dengan membetulkan semula bendera pada kedudukan sebenar.

Bagaimanapun, mengulas respon itu, Haji Aminuddin berkata, ia adalah seperti yang dijangka, berdasarkan trend yang ada selama ini dan berlaku saban tahun secara berulang-ulang. 

“Kita sangat kecewa, sekali lagi. Namun, tidak pula kita dengar tindakan tegas diambil terhadap pemilik premis seolah-olah pemilik premis itu ‘besar’ dan ‘kebal’,” katanya.

Justeru, beliau mendesak agar kerajaan dan pihak berkuasa bertegas sebagaimana Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dalam isu Jalur Gemilang terbalik ini. 

“Beliau membuktikan ketegasan dengan amaran yang sangat keras dan tindakan drastik. Kepada rakyat dan netizen, teruskan momentum ini iaitu cakna membongkar kepincangan-kepincangan yang berlaku terhadap maruah dan kedaulatan negara. 

“Rakyat dan NGO-NGO adalah ‘check and balance’ yang jujur dan ikhlas kepada kerajaan. Maka, hargai dan dengarilah,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close