Berita Utama

COVID-19: Tiada produk ayam sejuk beku Brazil di Sarawak

Kerajaan negeri takkan benarkan import ayam dari negara itu

KUCHING, 24 Zulhijjah 1441H, Jumaat – Sarawak tidak membenarkan pengimportan bahagian ayam dari Brazil atau mana-mana negara yang diketahui mengalami masalah penyakit ayam itik, kata Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Datuk Amar Douglas Uggah Embas hari ini.

Beliau berkata negeri ini mempunyai bekalan ayam tempatan yang mencukupi selain daripada mengimport hanya dari negara yang diperakui mengeluarkan produk ayam yang bebas penyakit.

“Saya ingin memaklumkan kepada semua warga Sarawak bahawa kami (kerajaan negeri) tidak membenarkan pengimportan bahagian ayam dari Brazil,” katanya dalam satu sidang media sebagai respons kepada kebimbangan mengenai terdapat kesan-kesan COVID-19 ditemukan pada sampel kepak ayam sejuk beku dari negara Amerika Latin itu yang dibawa masuk ke China.

Menurut satu laporan Cable News Network (CNN) semalam, kesan-kesan virus itu ditemukan Rabu lepas pada permukaan sampel yang diambil daripada satu kelompok kepak ayam semasa penyaringan makanan sejuk beku yang diimport di Daerah Longgang, Shenzen, China.

Memetik kenyataan pihak berkuasa tempatan di sana, laporan berkenaan menyatakan dapatan itu merupakan yang terkini dalam siri laporan produk makanan diimport tercemar dalam negara itu.

Sementara itu, Uggah yang juga Timbalan Ketua Menteri Sarawak berkata kerajaan negeri telah menyumbangkan RM1 juta untuk menaik taraf keupayaan penyaringan COVID-19 di Pusat Jantung Sarawak, Kota Samarahan dekat sini.

Beliau berkata sumbangan itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan negeri untuk meningkatkan kecekapan dalam menangani penyakit itu selepas Sarawak menghadapi kesukaran mendapatkan keputusan yang pantas daripada sampel swab yang diambil ketika peringkat awal pandemik itu.

“Memang pada awalnya COVID-19 ini menular di Sarawak, kapasiti adalah terhad. Kita cuma ada satu pusat saringan di Kuching. Maka sebahagian besar sampel dihantar ke Kuala Lumpur dan mengambil masa empat ke lima hari untuk mendapatkan keputusan,” katanya.

Setakat ini, Kerajaan Ngeri Sarawak telah menyumbang sebuah mesin “Polymerase Chain Reaction” (PCR) di Hospital Sibu, selain daripada sebuah mesin pengekstrakan berautomat yang digunakan di Hospital Miri.

Beliau berkata sektor swasta di negeri ini juga memainkan peranan mereka dalam memerangi penyakit itu dengan mendermakan empat mesin PCR dan sebuah mesin pengekstrakan berautomat untuk meningkatkan kapasiti penyaringan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close