Berita Utama

Dewan Rakyat: Minggu kelima minggu ‘kewangan’

Isu ekonomi, perbelanjaan negara jadi menu utama minggu ini

KUALA LUMPUR, 24 Zulhijjah 1441H, Jumaat – Isu ekonomi dan perbelanjaan negara menjadi menu utama Dewan Rakyat minggu ini, selain isu-isu lain termasuk akta antilompat parti tidak ketinggalan menambah perisa pada persidangan yang masuk minggu kelima.

Sebaik usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong yang dibahas 10 hari oleh 129 Ahli Parlimen diluluskan pada hari pertama minggu ini, persidangan diteruskan dengan pembentangan tiga rang undang-undang berkait rapat hal ehwal ekonomi negara.

Ini termasuk Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2019) 2020 untuk memohon perbelanjaan tambahan bagi perkhidmatan tahun 2019 sebanyak RM7,005,753,850 yang diluluskan pada Rabu selepas dibahas selama dua hari.

Rang Undang-Undang Perbekalan (Penguntukan semula peruntukan perbelanjaan) 2020 yang dibentang untuk bacaan kali kedua pada Khamis bagi memohon perbelanjaan tambahan bagi perkhidmatan tahun ini sebanyak RM7,184,083,200 akan bersambung pada minggu hadapan untuk dibahaskan.

Turut dibentangkan Rang Undang-Undang Langkah-langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) 2020 yang dibentang untuk bacaan kali pertama bertujuan menyokong Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat, Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin PKS dan Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Masa Pendek.

Isu had siling peruntukan bagi setiap bajet tambahan turut ditimbulkan Ahli Parlimen ketika perbahasan, dan Timbalan Menteri Kewangan 1 Datuk Abdul Rahim Bakri berkata secara asasnya tiada had siling ditetapkan untuk peruntukan tambahan, kerana ia bergantung kepada keperluan semasa setiap kementerian.

Abdul Rahim turut memberi komitmen kerajaan untuk memastikan peruntukan tambahan bagi setiap kementerian dilakukan tidak lebih daripada sekali dalam tempoh setahun dan dalam jumlah keseluruhan yang kecil.

Isu kewangan negara terus disentuh Ahli Parlimen yang membangkitkan soal baki RM14.51 juta Tabung COVID-19 dan Dewan Rakyat dimaklumkan akan digunakan untuk bantuan khas pengurusan kematian dan kehilangan pendapatan, selain bagi membantu individu yang dikuarantin dan dimasukkan ke wad untuk rawatan COVID-19.

Bagi program Musa’adah COVID-19 pula, Dewan Rakyat dimaklumkan bahawa nilai bantuan melalui program itu telah mencecah RM269.8 juta sehingga 30 Julai lepas.

Tidak ketinggalan isu Tabung Haji yang hampir setiap minggu dibangkitkan, dan sering kali menimbulkan suasana ‘panas’ persidangan, dan minggu ini Dewan Rakyat dimaklumkan bahawa kerajaan bersedia mempertimbangkan keperluan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan penyelewengan agensi itu.

Turut disentuh minggu ini ialah usul Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) apabila rata-rata Ahli Parlimen blok kerajaan meminta ia ditarik balik daripada aturan mesyuarat, selain isu undang-undang berkaitan lompat parti yang menurut pihak kerajaan perlu kepada penggubalan Perlembagaan Persekutuan untuk direalisasikan.

Isu lain yang menarik kali ini termasuk mengenai harga siling baharu pelitup muka tiga lapis yang diturunkan kepada RM1 seunit, berkuat kuasa Sabtu ini, bagi mengurangkan beban orang ramai susulan arahan kerajaan mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam yang sesak mulai 1 Ogos lepas.

Seperti minggu-minggu sebelum ini, prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan pandemik COVID-19 masih diberi penekanan bagi memastikan sidang Dewan Rakyat berjalan lancar dan bebas virus itu.

Mengambil maklum kewujudan kluster baharu wabak itu di utara Semenanjung, Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun menyarankan Ahli Parlimen yang bergejala atau balik ke kawasan terutama di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) agar menjalani saringan COVID-19. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close